Selasa, 20 Ogos 2013

PAS gesa Malaysia jadi orang tengah selesai isu Mesir


OLEH MOHD FARHAN DARWIS

 Malaysia disaran menjadi orang tengah dalam kemelut di Mesir melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), gesa pemimpin PAS hari ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata Putrajaya perlu mengambil langkah proaktif dengan menawarkan diri menjadi tuan rumah dalam menyelesaikan isu itu.

"Sampai masa Kuala Lumpur jadi tuan rumah dalam persidangan khas OIC, kenapa tidak (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) buat langkah proaktif, tawarkan diri jadi tuan rumah. Orang tengah untuk beri sumbangan besar dalam isu di Mesir," kata Salahuddin kepada pemberita.

 "Perkara ini tidak boleh dibiarkan, Malaysia perlu ambil pendirian tegas, menyatakan sikap terhadap isu ini," katanya lagi selepas penyerahan surat menggesa Najib mengadakan sidang Parlimen tergempar mengecam pembunuhan beramai-ramai di Mesir,” katanya.

Salahuddin Ayub (baju biru) dan Datuk Mahfuz Omar bercakap dengan pemberita di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 20 Ogos, 2013.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut menggesa Putrajaya menghantar pulang duta Mesir sebagai respon bantahan dan menghantar nota bantahan atas tindakan tentera Mesir melakukan rampasan kuasa terhadap bekas Presiden, Dr Mohamed Morsi

"Kerajaan perlu menutup kedutaan Mesir sebagai bantahan atas tindakan mereka," katanya di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya di sini.

Dalam surat mereka, PAS menyeru mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung Rabu dapat membuat ketetapan bahawa kerajaan Malaysia mengadakan Sidang Dewan Rakyat tergempar mengutuk insiden di Mesir.

"Kerajaan juga perlu mengecam negara-negara Timur Tengah yang menyokong Jeneral Al Sisi yang membunuh ribuan rakyat Mesir seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan juga Mesir.

"Biarlah Mesir mahu menyekat kuota haji kita, saya yakin rakyat tidak akan terkesan dengan tindakan mereka," kata Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS.

Najib juga jelas mereka mempunyai kuasa mengadakan sidang Parlimen tergempar tanpa persetujuan Kabinet.

"Kami mengharapkan ia dilaksanakan sejak isu ini berbangkit, Najib perlu segera panggil sidang khas Parlimen, tapi beliau seolah-olah tidak ada kesungguhan yang tinggi.

"Kenyataan perdana menteri pun banyak dipolitikkan, apabila mengatakan inilah perkara yang akan berlaku, seperti perubahan kuasa yang berlaku di Mesir," katanya.

Surat daripada PAS itu diterima Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh.

Tiada ulasan: