Selasa, 20 Ogos 2013

PAS desak tutup kedutaan Mesir

 
Perdana Menteri perlu segera memanggil ahli dewan supaya ada satu ketetapan terhadap isu ini. 



PUTRAJAYA: PAS mendesak kerajaan menyatakan pendirian tegas terhadap kekejaman di Mesir termasuk menutup pejabat kedutaan dan menghantar duta Mesir pulang ke negara asal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu antara usul yang perlu dibangkitkan dalam sidang khas tergempar Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Mahfuz berkata, Malaysia juga perlu memanggil Persidangan Negara Islam (OIC) mengecam negara Arab Saudi yang menyokong kerajaan tentera Mesir.

Katanya, keperluan untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat sangat mendesak dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu segera memanggil ahli dewan supaya ada satu ketetapan terhadap isu ini.

“Saya berharap usul yang dicadangkan Perdana Menteri nanti menggambarkan usul bersama yang menggambarkan tindakan bersama.

“Saya tak nak lihat usul retorik tapi perlu ada usul langkah yang hendak dicapai, khususnya persatuan ahli parlimen yang ada,” katanya ketika ditemui di perkarangan luar Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mahfuz sebelum itu bersama Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad hadir mengahntar surat bantahan kepada Najib.

Selain mengutuk kekejaman tentera Mesir, surat yang ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut mendesak Najib dalam mesyuarat kabinet esok membuat ketetapan rasmi memanggil sidang khas Dewan Rakyat supaya satu resolusi dapat dibentuk.

Surat itu diserahkan pemimpin PAS melalui Setiausaha Politik Najib, Datuk Khairun Aseh.

“Kita agak pelik kenapa Malaysia tak panggil PSC. Ini kita kesalkan, sebab itu kita datang hari ini untuk serahkan surat rasmi supaya beliau boleh gunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk panggil sidang khas Parlimen

“Saya harap ia dapat diadakan,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata PAS akan mengadakan satu meja bulat pada 1 September depan yang akan dipengerusikan Abdul Hadi.

Persidangan itu nanti akan dihadiri beberapa wakil termasuk diplomat, NGO luar negara termasuk menjemput wakil kerajaan dan Umno bagi membentuk satu deklarasi khas mengenai isu Mesir.

“Kami berharap sidang khas bukan sahaja Parlimen tetapi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berharap negeri Pakatan Rakyat akan memulakannya,” katanya.

Tiada ulasan: