Shahbudin Husin
Selepas
Najib mengeluarkan kenyataan bahawa tidak dibenarkan seseorang menteri
melantik anak atau ahli keluarganya sebagai pegawai khas di mana-mana
kementerian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz akhirnya
menukar kedudukan jawatan anak bongsunya itu. Jika sebelum ini,
jawatannya ialah pegawai khas menteri, kini ia ditukar kepada pegawai
khas Ahli Parlimen Padang Rengas (urusan Gen Y).
Tindakan
Nazri itu dilihat sebagai tanda beliau akur dengan arahan Perdana
Menteri walaupun sebelumnya terlihat begitu angkuh mahu mempertahankan
kedudukannya anaknya itu, termasuk dengan mengeluarkan kenyataan yang
berbunyi, “Ini kementerian saya, saya bebas melantik sesiapa saja”.
Perubahan kedudukan jawatan itu dilakukan dalam portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, bermula semalam.
Bagaimanapun,
yang menjadi persoalan ramai, kalau sudah jawatannya ditukar menjadi
pegawai khas di kawasan Parlimen Padang Rengas dan bukan lagi sebagai
kakitangan kementerian, mengapa pula perlu namanya dikekalkan lagi
dalam senarai portal kementerian itu?
Kenapakah
Nazri begitu bersungguh-sungguh mahu menonjolkan nama anaknya di
kementerian itu sedangkan tugasnya tidak lagi berkaitan dengan
kementerian, sebaliknya hanya berkaitan Generasi Y di Padang Rengas?
Apakah
mungkin, Nedim Nazri itu sebenarnya hanya ditukarkan nama jawatan
sahaja tetapi masih berada di kementerian dan menggunakan segala
kemudahan kerajaan seperti pejabat, telefon, kakitangan dan sebagainya
dalam urusan sehariannya? Bukankah ini bertentangan dengan etika yang
seharusnya?
Rasanya
semua menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
juga mempunyai pegawai khas yang menjaga kawasan Parlimen boss
masing-masing tetapi tidak pula kita pernah mendengar nama pegawai khas
Ahli Parlimen Pekan atau pegawai khas Ahli Parlimen Pagoh misalnya,
dimasukkan namanya dalam portal rasmi Jabatan Perdana Menteri.
Begitu
juga menteri lain yang turut mempunyai pegawai khas di kawasan Parlimen
masing-masing, nama mereka turut tidak dimasukkan dalam senarai staff
kementerian kerana mereka bukan kakitangan kementerian.
Barangkali
Nazri satu-satunya menteri yang meletakkan nama pegawai khas di
kawasan Parlimennya dalam portal rasmi kementerian walaupun gajinya
dibayar oleh beliau sendiri.
Tugas
seorang pegawai khas di kawasan Parlimen ialah menjaga kepentingan
pengundi di kawasan itu dan memastikan mereka mendapat bantuan atau
pertolongan yang sewajarnya dalam apa juga masalah yang dihadapi di
sebalik kesibukan seseorang Ahli Parlimen yang memegang jawatan sebagai
menteri di Pusat.
Tugas mereka biasanya hanya melibatkan urusan dengan Ahli Parlimen dan tidak berkaitan dengan kementerian.
Dalam hal
ini, anak Nazri itu sepatutnya lebih wajar berada di Pedang Rengas,
berbanding mempunyai pejabat yang selantai dengan bapanya di
kementerian.
Dengan
meletakkan nama anaknya kekal dalam portal rasmi kementerian dan
kemungkinan juga masih mempunyai pejabat di kementerian, Nazri
sebenarnya tidak 100 peratus mematuhi arahan Perdana Menteri yang
berbunyi, “Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh
diletakkan di pejabat menteri”.
Najib juga berkata, seseorang menteri hanya boleh melantik ahli keluarganya sebagai pembantu di kawasan Parlimennya sahaja.
Walaupun terlihat akur dan mengalah, Nazri sebenarnya masih menyanggahi arahan Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan