Sabtu, 24 Ogos 2013

Mengapa Najib lewat atau enggan bertindak?

Dr Dzulkefly Ahmad,

Benar bahawa Presiden Barack Obama dijadualkan akan membuat lawatan ke Malaysia untuk bersama di ‘Fourth Global Entrepreneurship Conference’ setelah selesai sidang Kemuncak Asean di Brunei, pada bulan 11 Oktober ini.

Benar, inilah kali pertama selepas 47 tahun, seorang Presiden Amerika Syarikat bakal membuat kunjungan ke Negara ini. Kali terakhir seorang Presiden Amerika membuat kunjungan ke Malaysia adalah pada tahun 1966 yakni Presiden Lyndon Johnson.

Tentunya lawatan ini menjanjikan pelbagai ruang keemasan bagi Perdana Menteri Najib Tun Razak menjalinkan hubungan lebih baik dengan Negara kuasa dunia unipolar itu. Paling mutakhir yang menjadi agenda utama pastinya berkisar di sekitar Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA.

Pentadbiran Najib sangat berhajat untuk mengambil kesempatan lawatan ini bagi memperbaikki pelbagai hubungan dengan ekonomi terbesar dunia ini meskipun Amerika tidak bebas dari kemelut ekonomi serta krisis kewangannya sendiri.

Sementara adalah cukup menasabah segala yang dihajatkan oleh Najib dan Umno serta kerajaan Barisan Nasional akan kunjungan Presiden Obama, seluruh Ummat Islam di Negara khasnya dan rakyat Malaysia amnya, masih bingung dan pelik memikirkan mengapa Malaysia sehingga kini tidak lagi langsung menyuarakan kecaman terhadap pergolakan besar yang sedang berlaku di Mesir.

Sangat mengaibkan negara kita, Malaysia, yang mendapat pelbagai jolokan Negara Ummat Islam terbaik di dunia Islam ini, diam seribu bahasa terhadap mereka yang melakukan kekejaman melampau yang sedang disaksikan dunia seluruhnya.

Najib dan kerajaan Umno-BN mesti mengambil kira akan hancur luluh dan pilunya hati Ummat Islam di Negara ini, ketika kerajaan ini lewat mewakili suara hati nurani mereka menyaksikan ribuan saudara seIslam mereka dibunuh dan diperlakukan ke paras kekejaman yang tidak berperikemanusiaan bukan sahaja di Dataran Raba’ah, Nahdah, di Masjid Al-Fatah, Ramsis dan terkini di bunuh dalam tahanan.

Sementara Ummat dan rakyat seluruhnya boleh memahami kepentingan kunjungan Presiden Obama, namum ummat Islam dan rakyat di Malaysia mahukan paling tidaknya kerajaan Malaysia rakamkan segera kecaman dan bantahan tegas Negara ini terhadap pembunuhan rakyat Mesir secara kejam itu.

Tidak dapat tidak wujud semacam tanggapan rakyat bahawa kerajaan Malaysia takut menyatakan kecaman kerana takut bertentangan dengan pendirian Amerika Syarikat yang selesa dengan sikap ‘berkecuali’.
Ataukah kita takut kehilangan ‘goodwill’ dalam perhubungan dengan Amerika atau atas perhitungan risiko politik dan ekonomi yang mungkin terjejas dalam hal perjanjian TPPA, meletakkan kerajaan Najib Umno-BN juga bertindak ‘berkecuali’ serta enggan mengutuk penggulingan sebuah kerajaan demokratik melalui satu rampasan kuasa tentera atau ‘military coup detat’. Mengutuk pembunuhan dengan tidak langsung mempedulikan yang melakukan pembunuhan adalah sangat pelik dan membingungkan. Sangat malang kalau pendirian ini berterusan diambil kerajaan Malaysia!

Sememangnya diakui bahawa situasi di Mesir adalah rumit dan sangat kompleks serta memerlukan langkah-langkah rundingan yang berdiplomasi tinggi dan cermat. Tidak ada siapa yang menafikan kedudukan tersebut.

Namun sikap ‘berkecuali’ tidak bermaksud Malaysia sebagai Negara Ummat Islam yang dihormati bertindak sebagai Negara yang ‘penakut dan bacul’ serta tidak punya wibawa. Mungkin sahaja kita berakhir dengan tidak ada langsung tindakan!

Bukan untuk disuruh ‘berpihak’ atau ‘partisan’ – menyokong atau menentang Morsi atau tentera’- yang dituntut rakyat, tetapi untuk bertindak dan disaksikan bertindak dengan wibawa, diplomasi dan ketegasan menghalang pembunuhan dan tragedi lebih dahsyat lagi. Itu isu dan cabarannya.

Sumber-sumber diplomatik asing yang menjalankan beberapa usaha rundingan jelas membuktikan bahawa ketegasan adalah diperlukan dalam menangani konflik dan pergolakan di Mesir ini. Cebisan dari rentetan rundingan oleh beberapa wakil pihak duta-duta  asing jelas mengisyaratkan bahawa pihak kepimpinan tentera adalah sangat angkuh.

Wakil Kesatuan Eropah (EU), Bernardino Leon, yang bersama dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, William Burns, melaporkan kepada Reuters bahawa setelah satu kata sepakat dicapai bersama pimpinan Morsi dan Ikhwan Muslimin, pihak pimpinan tentera sengaja melanggari dan tidak mahu mengiktirafinya.

Tindakan Timbalan Presiden Muhamad Al-Baradei meletakkan jawatannya atas keganasan pihak tentera membunuh orang awam adalah sangat jelas bahawa pihak Jeneral bdul Fattah As-Sisi tidak lagi bersedia untuk memberi laluan kepada diplomasi dan hak demokrasi kepada rakyat Mesir.

Kelewatan Najib untuk bertindak mengutuk keganasan pihak tentera membunuh serta mencedera pihak awam juga adalah amat dikesali sekaligus memberi persepsi bahawa Negara ini hampir sebaris dengan sekutu-kutu Amerika seperti Saudia Arabia, Jordan serta konco-konconya yang ditanggapi umum sebagai menyebelahi kepentingan Barat.

Bagi mendapatkan satu pendirian yang lebih mantap dan bersifat bi-partisan adalah paling wajar bagi Perdana Menteri Najib untuk mendakan Sidang Khas Parlimen seperti yang kini diminta oleh kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kes Palestin tetap menjadi contoh rakaman sejarah bahawa Parlimen Malaysia mampu mencapai kata sepakat dalam isu merentasi semua.

Sidang Khas Parlimen sepatutnya bertujuan menyeragamkan tindakan kerajaan Malaysia yang disepakati semua supaya menyusun langkah-langkah yang dianggap wajar dan bersesuaian, antara lain, termasuk menghantar wakil atau ‘envoy’ kita ke Mesir untuk berunding bagi mencapai penyelesaian menang-menang serta berhenti membunuh orang awam.

Ummat Islam di Negara juga mahu menuntut supaya Perdana Menteri Najib dan kerajaan Umno-BN dan Parlimen Malaysia segera menggerakkan serta mendesak negara-negara Ummat Islam atas platform Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan mengambil inisiatif politik dan diplomasi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak segera terhadap jenayah pembunuhan beramai atau ‘massacre and genocide’ yang telah pun berlaku di Dataran Raba’ah Al- Adawiyyah dan Nahdah dan terkini di Masjid Al-Fateh juga di Kaherah.

Kini kesemuanya sudah tentunya dilihat terlambat dan Malaysia masih lagi belum memulakan sesuatu yang lebih tegas sesuai dengan kedudukan Negara yang berada pada tanggapan yang baik di kalangan Negara ummat Islam dan masyarakat antarabangsa.

Najib wajar diberikan peringatan bahawa beliau mesti lebih prihatin, tegas dan tuntas dalam bertindak mempertahankan maruah negara dan martabat ummat Islam. Bertindak di peringkat antarabangsa dalam kes Mesir ini adalah sangat dihajati ummat dan rakyat di Negara ini. Kini kewibawaan PM Najib dan Malaysia adalah sangat diperlukan bagi menggerakkan Lembaga Keselamatan (SC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tuduhan jenayah pihak tentera Mesir ke atas kemanusiaan yakni rakyat Mesir ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia sekaligus menaikkan imej, kredibiliti dan wibawa negara. Retorik pimpinan negara tentang apa jua pergolakan samada di peringkat nasional dan antarbangsa, lebih bermakna serta berbisa ketika tindakan pimpinan dan kata-kata selari dan sejajar.

Dalam kebrentakan demokrasi dan tragedi pembunuhan kejam di Mesir ini, Najib dan Umno sekali lagi gagal dan mendukacitakan membela maruah Ummat Islam.

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tiada ulasan: