Jumaat, 2 Ogos 2013

Masjid Felda Bukit Cherakah Dinaiktaraf Untuk Tampung Jemaah


Sultan Bkt Cherakah 01

KUALA SELANGOR- Masjid Felda Kampung Bukit Cherakah akan mengalami kerja-kerja pengubahsuaian bagi menampung kepadatan penduduk yang makin meningkat seiring dengan pembangunan di sekitar bandar Puncak Alam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin berkata, kerja pengubahsuaian masjid  yang dibina pada 1 Januari 1996 itu amat penting bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Penambahbaikan masjid ini akan melibatkan ruang solat lebih luas, dewan serbaguna, bilik imam, bilik bilal, bilik jenazah dan tempat persalinan bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikannya sebagai  ‘One Stop Centre’.

“Pengubahsuaian dicadangkan dan ahli jawatankuasa masjid  menubuhkan satu jawatankuasa pembangunan bagi memberi cadangan reka bentuk selain mencari dana tambahan kepada kerja-kerja pengubahsuaian masjid ini.

Sultan Bkt Cherakah 02

“Secara umumnya, masjid ini memerlukan pengubahsuaian di masa hadapan untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan perasmian masjid di Kampung Felda Bukit Cherakah, di sini.

Dalam majlis itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 300 asnaf fakir miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf  sebelum solat berjemaah bersama penduduk.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan, Orang Besar Daerah, Datuk Mohamad Yaacob Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Suliman Abdul Rahman.

Tiada ulasan: