Rabu, 7 Ogos 2013

Liow: NGO Cina masih harap MCA sertai kabinet

MALAYSIA KINI


 
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina masih berharap bahawa MCA akan mengubah keputusan parti itu yang ia tidak akan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, selepas kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata isu itu dikemukakan oleh NGO semasa sesi dialog, 'Interaksi mengenai Reformasi MCA dan Masa Depan Masyarakat Cina' yang diadakan di Wisma MCA di Kuala Lumpur semalam.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan dialog selama tiga jam dihadiri wakil daripada 58 NGO Cina, termasuk daripada perdagangan, industri dan sektor pendidikan, 
 
Liow berkata: "Mereka telah menyatakan pandangan dan berpendapat bahawa MCA boleh membantu masyarakat Cina untuk menyelesaikan banyak isu yang melibatkan mereka dan mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan untuk menggubal dasar-dasar untuk kebaikan negara ini.

"Oleh itu, mereka rasa adalah wajar MCA perlu hadirkan diri dalam Kabinet," katanya.

Mereka juga membincangkan isu-isu semasa berkaitan masyarakat Cina seperti pendidikan, perniagaan dan keselamatan, katanya.

Liow yang mengetuai jawatankuasa transformasi MCA berkata walaupun menghadapi penolakan kuat daripada masyarakat Cina, MCA akan terus terlibat dan bekerjasama dengan masyarakat untuk memenangi semula sokongan mereka.

Beliau berkata maklum balas daripada dialog serta mesyuarat lain dengan masyarakat Cina akan digunakan untuk menggubal satu rangka kerja transformasi yang jelas bagi parti.

MCA berpegang kepada resolusi Perhimpunan Agungnya pada 2011 dan 2012 bahawa mereka tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika keputusan PRU13 lebih buruk daripada PRU12.

MCA memenangi hanya tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri, pada PRU13 lalu.
- Bernama

Tiada ulasan: