Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN
KUCHING - Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan laporan awal
mengenai runtuhan penyambungan tanjakan susur keluar ke Jambatan Kedua
Pulau Pinang pada Oktober depan, kata Menterinya Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata laporan oleh kumpulan pakar seramai 12 orang yang
dibentuk khas oleh kementeriannya ditugaskan mengkaji semua aspek
berkaitan amalan biasa industri pembinaan dan menyiasat sama ada ia
dipatuhi dalam kes tersebut.
"Maklum balas awal yang diterima dari kumpulan pakar itu mengatakan
terdapat kecuaian, tidak mematuhi standard serta amalan-amalan yang
sepatutnya dipatuhi dan ditetapkan dalam sektor pembinaan sehingga
mengakitkan runtuhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata selain menjalankan siasatan kes
runtuhan tersebut, kumpulan 12 pakar yang terdiri antaranya dari pihak
arkitek, wakil syarikat pemaju, ahli akademik dan agensi kerajaan itu
turut mengkaji proses dan sistem sektor pembinaan sedia ada supaya
apabila pelaksanaan projek pembangunan dilakukan pada masa hadapan,
risiko kemalangan dapat dikurangkan.
"Matlamat kita ialah untuk mengkaji keseluruhan perjalanan projek
termasuk aspek perundangan, amalan pihak industri, bahan reka bentuk,
pemantauan projek, rangkaian bekalan serta kemahiran pekerja," katanya.
Fadillah berkata laporan awal itu akan dimuktamadkan hanya selepas satu
konsultasi bersama dengan semua pihak berkaitan industri pembinaan
diadakan.
"Laporan akhir pula akan dikemukakan kepada kerajaan, dan jika ada
input yang bersesuaian, seperti perubahan dasar, penambahbaikan
undang-undang, serta amalan dalam sektor pembinaan, kita akan
laksanakan," katanya.
Dalam kejadian 6 Jun lepas itu, tanjakan konkrit di susur keluar
Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu
Maung, runtuh dan mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.
Pada 6 Julai, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan (DOSH) Datuk Ir Dr Johari Basri mengesahkan siasatan pihaknya
mendapati wujud unsur kecuaian dari segi prosedur dan teknikal oleh
pihak kontraktor. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan