Selasa, 20 Ogos 2013

Kalau dengar nasihat Dr M, UMNO itu pelindung Melayu, dunia akhirat


Desakan dari setengah pihak dalam UMNO untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO supaya tidak ditandingi bertambah nyaring. Walaupun perlembagaan memperuntukan sesiapa boleh bertanding apa-apa jawatan dalam parti tetapi ada pihak yang tidak mahu diadakan pertandingan itu kerana ditakuti akan memecah belahkan parti.

Tidak ada siapa yang boleh melakukan apa-apa kerana pimpinan diatas tidak yakin dengan peruntukan perlembagaan parti mereka sendiri. Tetapi pucuk pimpinan boleh diubah tanpa pertandingan kali ini seperti yang berlaku semasa Najib mengambil alih kepimpinan dari Abdullah Badawi dahulu.

Najib boleh dialih jika cara yang sama dilakukan seperti yang dilakukan kepada Abdullah dahulu. Asas menolak Abdullah dulu adalah diatas kegagalan Abdullah mendapatkan kemenangan 2/3 majoriti di Dewan Parlimen. Najib mendapat jumlah kerusi yang lebih kecil maka elok jika dilakukan cara pengambil alihan dari Najib mengikut cara Abdullah berhenti dahulu.

Dulunya Muhyiddin begitu kuat dan mundar mandir ke hulu ke hilir. Muhyiddin merupakan orang ke hulu ke hilir untuk Abdullah memberikan laluan kepada Najib. Muhyiddin merupakan orang yang paling hebat kedepan meminta Abdullah turun dan memberikan laluan kepada Najib. Tentulah niat beliau ialah untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden itu untuk menggantikan Najib yang telah menerima banyak jasa dari tindakan beliau (Muhyiddin) itu. Maka Abdullah pun berhenti dan Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Najib..

Tetapi sekarang Najib sememangnya lebih lemah dari prestasi Abdullah maka adalah baik bagi salah seorang dari Naib Presiden menolak Najib pula untuk Muhyiddin mengambil alih Najib sebagai Presiden UMNO itu. Jika tidak ada salah seorang melakukan tindakan untuk Muhyiddin, maka jelaslah yang Muhyiddin ini ibarat lilin yang membakar dirinya untuk kepentingan Najib dan kroninya. Itulah politik UMNO. Jika berjaya rundingan diantara Najib dengan Anwar maka giliran Muhyiddin akan tercicir dan tidak siapa akan menghiraukan beliau apabila graf politiknya menurun.

Tetapi sekarang walaupun keadaan lebih buruk dari masa Abdullah meletakkan jawatan dahulu, tetapi tiada siapa yang berani mahu menandingi Najib dan tidak ada pun pemimpin tinggi diperingkat Naib Presiden berani menggerakkan usaha untuk mengambil alih kepimpinan UMNO dari Najib.

Dahulu orang yang sebenarnya menggerakkan Abdullah untuk bersara ialah Dr Mahathir dan menggunakan Muhyiddin untuk bergerak melaksanakan program peralihan kuasa itu. Muhyidin mundar mandir membuat desakan agar Abdullah meletakkan jawatan untuk memberikan laluan terhadap Najib diatas alasan kekalahan teruk UMNO sehingga hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan kehilangan Kedah, Selangor dan P Pinang kepada pembangkang.

Mahathir mengambil tindakan lebih jauh dengan bertindak keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan sendiri itu. Beliau hanya kembali ke dalam UMNO setelah berjaya menolak Abdullah dari jawatan Perdana Menteri. Mahathir lebih rela menghancurkan UMNO asalkan sahaja Abdullah tidak lagi memimpin kerajaan kita.

Ramai diantara rakan-rakan saya memberitahu saya yang mereka telah berjumpa Mahathir untuk melakukan tindakan menolak Najib tetapi kali ini Mahathir tidak pula keluar membidas Najib seperti yang beliau lakukan terhadap Abdullah. Mungkin oleh kerana Najib lebih berusaha untuk menyejukkan Dr Mahathir dengan tidak memutuskan hubungan seperti yang dilakukan oleh Abdullah.

Abdullah dahulu tidak mempedulikan Dr Mahathir samasekali kerana Dr Mahathir selalu melakukan gangguan terhadap pentadbiran beliau. Apabila Dr Mahathir berjumpa dengan beliau (Abdullah) beliau tidak bercakap dan membiarkan Dr Mahathir bercakap seorang diri dan Abdullah memenuhi masa dengan Dr Mahathir semasa perjumpaan itu menulis dan mencatatkan sahaja apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir.

Seperkara yang ramai tidak tahu, Abdullah adalah seorang yang nampak lembut tetapi beliau adalah seorang yang keras dan degil. Lembutnya Abdullah bukannya untuk di sudu. Beliau tidak membenarkan Dr Mahathir bermaharaja lela dan beliau terus sahaja dengan selamba melakukan apa yang patut beliau fikir perlu di lakukan.

UMNO sesungguhnya perlukan perubahan tetapi tidak nampak perubahan itu akan berlaku. Kalau pun bertukar orang yang memimpinnya UMNO tetap seperti yang ada sekarang ini malahan ia akan lebih lemah lagi selepas ini. Saya selalu berulang-ulang bercakap yang jika di tukar Najib dengan diantara mereka yang ada dalam barisan pimpinan tertinggi UMNO, parti itu akan tetap sama kerana mereka mempunyai budaya dan sikap serta kemampuan yang sama sahaja.

Kita tidak boleh mengharapkan apa-apa dari pemilihan kali ini. Apa yang kita mungkin lihat hanyalah perubahan muka-muka yang baru tetapi mereka tetap sama sahaja. Masalah tetap sama dan keresahan rakyat tetap wujud.

Dr Mahathir akhir-akhir ini mengakui kelemahan nyata tetapi menyeru orang melayu menyokong UMNO juga diatas nama perpaduan dan keselamatan orang melayu. Biarpun rakyat sengsara dalam UMNO tetapi mesti menyokong juga UMNO itu.

Orang melayu tidak dibenarkan berubah oleh Dr Mahathir. Bagi beliau orang melayu mesti hidup terus-terusan dibawah parti yang lemah. Orang melayu mesti terus-terusan bersabar melihat kepimpinan UMNO melakukan rasuah dan segala-gala dosa dan noda.

Kalau orang Melayu tidak menyokong noda dan dosa ini nanti Melayu akan berpecah pula. Biarkan kita berada dalam dosa dan noda, UMNO mesti dipertahankan. Apa nak jadi, jadilah. Kalau terpaksa bergelumang dengan UMNO yang melakukan segala noda itu, maka sokonglah UMNO.

Kalau agama kata jangan rasuah, jangan di hiraukan jika seruan itu merosakkan melemahkan UMNO. Bagi Dr Mahathir UMNO itu adalah ‘ultimate’ untuk semua dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: