Rabu, 7 Ogos 2013

Ingat Ini Harta Ahmad Albab Yang Punya


Oleh Mohd Sayuti Omar

Kalau kita pernah menonton filem hitam putih lakonan dan arahan P Ramlee berjudul "Ahmad Albab" kita akan menyaksikan satu segmen di dalam gua dimana seorang pengembala kambing bernama Shawal yang masuk ke dalam gua untuk mencari kambingnya yang hilang tiba-tiba berjumpa dengan harta karun.

"Jangan kau sentuh ini Ahmad Albab yang punya.."
 
Shawal tidak pun berhajat untuk mencari harta karun tetapi apa yang dicari seekor anak kambing yang dijaganya tersasar dan hilang dari kawanan. Shawal ternampak anak kabingnya berada di atas batu di dalam gua itu dan beliau terus mengejarnya. Sebaik beliau merapat anak kambing itu, ia hilang dan diganti dengan selonggok harta karun.

Shawal teruja dengan harta itu dan cuba hendak menyentuhnya. Baru dia hendak menghulur tangan tiba-tiba terdengar suara melarangnya dengan berkata; hai manusia jangan kau sentuh harta itu, bukan kamu yang punyai tetapi Ahmad Albab yang punya. 

Shawal yang terkejut dengan laungan itu terus menghentikan niatnya. Sekilas itu juga harta karun itu ghaib dari pandangannya. Bagaimana pun karun itu tetap menjadi milik Shawal menerusi anaknya Ahmad Albab. Apabila Shawal mendapat cahaya mata, kebetulan anaknya bernama Ahmad Albab. Nama itu diberi oleh bapa mertuanya. Shawal teringat pesanan jin itu lalu membawa anaknya ke gua berkenaan.

Jin memberi syarat sekiranya Shawal hendakkan harta itu untuk anaknya, Ahmad Albab, dia kena membawa Ahmad Albab datang ke gua itu sesekali bermain dengan anak perempuannya. Jin tinggal tiga beranak di dalam gua berkenaan.

Apakah relatif segmen itu dengan apa yang hendak saya catatkan dalam posting ini. Ambilllah iktibar dari apa mesej yang dihendak disampai dari babak berkenaan. Kita jangan mudah merasakan harta yang kita jumpa itu sebagai hak kita seorang diri. Walaupun ia boleh dimanfatkan tetapi ada cara dan kaedah untuk mendapatkan agar ia diperolehi secara benar dan betul.

Nah, begitu juga dengan harta atau kekayaan negeri Kelantan, ia tidak bermakna ia hak penguasa Kelantan hari ini. Ia adalah hak rakyat Kelantan. Dalam konteks hari ini bukan hak mana-mana pemimpin Pas walaupun mereka yang menguasai ke atas harta itu menerusi berkuasa sebagai kerajaan. Dengan kuasa itu boleh diluluskan apa saja. Tetapi apa yang penting kelulusan itu biarlah mengikut prosuder agar tidak berlaku penyelewengan dan kekayaan dan harta rakyat dijamin dibelanjakan demi kepentingan rakyat.

Kenapa jin di dalam gua itu tidak memberikan harta itu langsung kepada Shawal walaupun dia akhir Shawal dapat juga merasainya apabila ia membawa anaknya Ahmad Albab bermain dengan anak jin itu. Moral of the story apa-apa harta tidak boleh dikaut begitu saja tanpa menurut prosuder yang betul.

Saya menarik perhatian babak dalam gua dalam filem itu, kerana ada tanda-tanda berlaku penyeleweng ke atas harta dan kekayaan negeri Kelantan. Saya terpaksa menegur terhadap apa yang saya tahu dan menyedari perkara ini kepada pihak-pihak tertentu khasnya mereka yang menerajui kerajaan kini. Menjadi kewajiban saya menimbulkan ini agar ia diperbetulkan jikalau ianya tidak tepat. Dan kalau benar ia perlu diperbaiki segera bagi menjamin harta dan kekayaan Kelantan dibahagi secara adil dan rakyat dapat menikmati atas keadilan dan kebijaksanaan pemerintah dan pentadbir.

Saya terkedu hati apabila mendpat khabar ada sebidang tanah kerajaan seluas 5,000 ekar yang mulanya sudah diputuskan untuk dimajukan oleh anak syarikat milik kerajaan negeri sebagai ladang tiba-tiba bertukar tangan kepada pihak lain. Tanah itu sudah lamah diberikan kepada syarikat GLC itu dan ia dirancangkan bagi dimajukan oleh anak syarikatnya.

Tanah itu sejak awal lagi diputuskan untuk diberikan kepada anak syarikat milik kerajaan itu, hanya menanti kerja-kerja pembersihan hutan selesai dijalankan untuk diserahkan. Malangnya selepas kerja pembersihan hutan selesai, tanah berkenaan tiba-tiba diberikan kepada pihak lain menerusi runding secara senyap bukan secara tander seperti mana sepatutnya.

Pemberian tanah itu kepada syarikat berkenaan menimbul beberapa tanda tanya. Antaranya pemberian itu melanggar dasar kerajaan seperti diumumkan kerajaan dimana hutan, tanah dan lombong akan dibuka tander bagi mendapat bayaran (hasil) lebih untuk tabung kewangan negeri. Namun dalam kes ini tander tidak dilakukan. Kenapa?

Tidak menjadi masalah kalau kerajaan inginkan harga yang tinggi. Tetapi biarlah ia dijalankan secara telus dan tidak timbul hal-hal meragukan. Dalam kes tanah seluas 5,000 ekar ini seakan ada sesuatu yang tidak betul dan disembunyikan? Semacam ada kong kalikong mengenainya?

Katanya desas desus tanah itu akan diberikan kepada syarikat berkenaan telah kedengaran sebelum puasa lagi. Pada mesyuarat akhir bulan Julai lalu persetujuan dicapai untuk diberikan kepada syarikat berkenaan walaupun tawarannya agak murah sedikit dengan syarikat yang dijanjikan sebelum ini. Itu tidak mengapa lagi, yang kurang sedapnya apabila ada maklumat mengatakan ada rasuah di sebalik pemberian itu. Sebanyak RM5 juta lebih diberikan kepada pihak tertentu sebagai wang pelincin atau wang kopi?

Persoalan kenapa kerajaan tidak mahu memberi tanah itu diusahakan oleh syarikat milik kerajaan? Bukankah dengan cara itu ia boleh menyelamatkan tanah rakyat dari diboloti oleh syarikat berkenaan yang nikmatnya dikecapi segelintir orang saja? Sepatutnya harta rakyat diagihkan kepada rakyat. Misalnya tanah itu boleh diselamatkan dari jatuh kepada pihak lain dan harta itu boleh dikecapi rakyat dengan menyerahkan tanah itu kepada syarikat milik kerajaan. Syarikat berkenaan boleh mengusahakan ladang kemudian dijual secara lot kepada rakyat Kelantan. Dengan cara itu juga tanah berkenaan terselamat dari menjadi segelintir pihak dan yang penting rakyat dapat mengecapi nikmatnya.

Selain itu kerajaan perlu juga mengambil iktibar atas apa yang berlaku sebelum ini. Berpuluh ribu ekar tanah yang diberi (dipajakkan) kepada syarikat-syarikat tertentu ia diperniagaaan untuk mendapat keuntungan atas angin dengan menjual kepada syarkat lain pula. Bayangkan kalau seekar dinilai RM300 berapa nilainya selepa beberapa tahun ladang itu diusahakan. Ia tentu akan mencecah RM20,000 seekar? Berapa banyak syarikat pemajak itu untung?

Isu mengenai tanah seluas 5,000 ini bukan perkara kecil. Kalau ia tidak di handle secara baik, telus dan jujur ia akan merosakkan imej Ahmad Yakob sebagai MB. Justeru elok kalau cadangan yang telah dibuat itu difikir kembali. Kita tidak mahu ia menjadi kes study menyebabkan orang akan pertikaikan kepimpinan Ahmad Yakob.

Kita tidak percaya keputusan sebegitu dibuat oleh Ahmad Yakob melainkan dia mendapat nasihat dan pandangan dari pihak-pihak lain. Dalam hal ini tentulah mereka yang menjadi team pemikir atau pun penasihat 25% kepada beliau dan kerjaan negeri. Sekiranya Ahmad menyedari akan hal ini sudah pasti beliau akan merombak semula keputusan itu dan satu makenisme lain diadakan setidak-tidak dengan mengadakan tander terbuka. Ahmad kena berani dan tegas.

Kalau sebelum ini tanah itu sudah dipersetujui untuk dimajukan oleh anak syarikat milik kerajaan untuk dijadikan ladang kenapa ia tidak diteruskan? Cara itu lebih munasabah. Paling malang lagi sekiranya benar pemberian tanah seluas 5,000 ekar itu kepada syarikat yang dikatakan telah memberi wang tumbuk rusuk sebanyak RM5 juta ia sesuatu yang mendukacitakan sekali. Kejadian ini bolehlah dianggap pencemaran pertama kepada kerajaan pimpinan Ahmad Yakob.

Saya sudah kisahkan perihal harta karun di dalam gua yang ditemui oleh Shawal itu. Jin melarang keras ia bukan saja diambil tetapi disentuh oleh Shawal kerana ia bukan hak Shawal tetapi hak anaknya Ahmad Albab. Sangat diharap Ahmad Yakob akan meniru perangai dan intergeiti serta amanah yang dimiliki oleh jin itu. Boleh beri tanah atau lombong kepada sesiapa saja, tetapi bilarlah mengikut peraturan dan polisi yang telah ditetapkan kerajaan. Apa guna buat polisi tetapi tidak dituruti. Bukankan itu boleh dinamakan munafik?

Sebagai penulis dan pemerhati bebas saya akan memantau mengenai perkembangan ini dari masa ke semasa. Kalau dahulu saya pernah menulis buku berjudul "Balak Balak di Kelantan" tidak mustahil akan keluar pula satu buku; Tertimbus Dan Lemas Dalam Lombong. Ingatlah kata-kata Jin itu; harta itu Ahmad Albab yang punya! -http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: