Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak menjadi salah satu perkara penting kepada pembangunan negara dalam melahirkan modal insan yang berguna.

Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu, kerajaan komited melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Justeru itu, pusat pendidikan awal kanak-kanak Genius Aulad International Group Sdn Bhd (Genius Aulad) bertekad menyahut seruan kerajaan dengan memberi tumpuan khusus kepada pendidikan tahun-tahun terawal dalam pembesaran kanak-kanak.

Dengan moto pembelajaran menjangkaui bilik darjah, di Genius Aulad, kanak-kanak bukan sahaja diajar membaca dan menulis, bahkan juga diterapkan nilai-nilai murni agar menjadi insan yang berakhlak mulia serta dihormati.

Pengarah Urusan Genius Aulad, Zaliza Alias berkata, penubuhan Genius Aulad pada asasnya ialah untuk memberi pendidikan Islam yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

“Idea untuk menubuhkan pusat ini tercetus pada 2000. Ketika itu, saya bekerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris. Dalam masa sama, saya juga adalah ibu kepada tiga orang anak.

“Melihat tidak adanya pusat pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan pendidikan Islam menggunakan Bahasa Inggeris, saya telah mengambil keputusan untuk membuka Genius Aulad yang lebih menitikberatkan bahasa itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Shah Alam, baru-baru ini.

Sasar buka 40 cawangan baru

Selain tadika, Genius Aulad juga telah memperluaskan perniagaan dengan menubuhkan Genius Aulad Master yang menguruskan soal operasi sekolah serta francais.

Sementara itu, Akademi Under The Lemon Tree (UTLT) yang menekankan aspek mendidik anak-anak ketika berada di rumah yang melibatkan ibu bapa dan guru turut ditubuhkan, selain memberikan perkhidmatan kepada pembinaan kemudahan di setiap cawangan Genius Aulad.

“Menjelang penghujung tahun depan, kami sasarkan untuk membuka lebih 40 cawangan Genius Aulad di seluruh negara.

"Setakat ini, kami telah beroperasi di sekitar Lembah Klang, Kedah, beberapa tempat di Melaka dan Johor serta tidak lama lagi akan beroperasi di Pahang dan Terengganu,” katanya.

Mengulas mengenai perniagaan francais, Zaliza berkata, setiap individu yang ingin membuka francais di bawah jenama Genius Aulad perlu menjalani kursus selama setahun sebelum diluluskan untuk membuka francais tersebut.

“Kami amat menitik beratkan soal kualiti dalam pendidikan. Jadi mereka yang ingin membuka francais perlu menjalani latihan yang akan kami sediakan agar mutu perkhidmatan serta matlamat untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada kanak-kanak dicapai.

“Di samping itu, latihan yang dilalui juga dapat mewujudkan dan menjaga hubungan baik dengan bakal francaisi supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan. Biasanya apa saja yang dirancang untuk kebaikan tadika ini akan dilakukan bersama-sama dan masing-masing diberikan peluang untuk terlibat,' katanya.

Bukan hanya kelas biasa

Menurut Zaliza, terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak pengurusan sepanjang sesi pembelajaran berlangsung yang dianggap penting untuk mengasah bakat kanak-kanak serta mendedahkan mereka kepada dunia yang sebenar.

“Antara aktiviti tahunan kerap kami lakukan adalah acara sukan, perkhemahan, lawatan, persembahan teater dan banyak lagi. Uniknya di sini, setiap tahun acara yang berlangsung mempunyai tema.

“Contohnya baru-baru ini, sukan kami bertemakan sukan kampung. Amat menyeronokkan apabila melihat kanak-kanak bermain sukan kampung seperti teng-teng, galah panjang, congkak, batu seremban dan macam-macam lagi,” katanya.

Menurut Zaliza, Genius Aulad juga amat menitikberatkan soal keselamatan di kawasan tadika dengan cawangan tadika itu dilengkapi CCTV yang berfungsi sepanjang 24 jam bagi mengawal kanak-kanak, guru-guru serta orang luar.

"Begitu juga dengan permukaan lantai, kami hasilkan sendiri lantai yang tidak mudah licin untuk elak kanak-kanak terjatuh. Lantai kami telah diiktiraf selamat serta menjadi contoh kepada pusat pendidikan yang lain," katanya.

Menurut Zaliza, sepanjang 13 tahun Genius Aulad beroperasi, seramai 11,000 kanak-kanak telah berdaftar di bawah pusat pendidikan awal kanak-kanak itu.

“Alhamdulillah, setakat ini banyak maklum balas yang kami terima, ibu bapa berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan.

“Saya berharap, kami mampu terus bersaing dalam memberikan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi sejajar dengan saranan kerajaan untuk melahirkan kanak-kanak yang pintar dan cerdas,” katanya.