Anggota exco Wanita Umno Datuk Azizah Mohd Dun menyokong cadangan agar lebih ramai pemimpin sayap parti itu tampil untuk mencabar Datuk Shahrizat Abdul Jalil dalam pertandingan untuk jawatan ketua Wanita.

Laporan Berita Harian menyebut, Azizah turut mencadangkan agar langkah berkenaan diperluas untuk jawatan lain dalam pemilihan tersebut.

"Saya amat setuju jika pemilihan bagi jawatan ketua Wanita Umno dibuka kepada lebih ramai calon yang berkaliber, malah langkah sama perlu dilakukan terhadap jawatan lain dalam parti," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar itu.

Azizah, yang menawarkan diri bertanding naib ketua Wanita Umno, mengulas cadangan presiden Majlis Bekas Wakil Rakyuat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang mahu pemilihan ke jawatan itu tidak wajar terhad kepada dua calon.

Sehingga kini, hanya ahli parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman telah mengesahkan akan mencabar penyandang, Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi jawatan tersebut.

Shahrizat sebelum ini juga mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mencabarnya.

Beliau turut menasihatkan Azalina agar tidak membawa budaya 'anak mencabar ibu' dalam pemilihan akan datang.