Jumaat, 30 Ogos 2013

Eksploitasi isu agama keruhkan perpaduan

 
Peranan pemimpin politik sewajarnya menjernihkan keadaan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. 



PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir ahli politik yang mengeruhkan usaha perpaduan nasional dengan mengeksploitasi hal agama dan isu sensitif untuk kepentingan mereka sendiri.

Dalam perutusannya bersempena Hari Kemerdekaan esok, beliau berkata, tanggungjawab dan peranan pemimpin politik sewajarnya  menjernihkan keadaan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ujar beliau, “tatkala kita seharusnya meraikan perpaduan sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan pelbagai agama yang telah menjangkau 56 tahun usia kemerdekaan, kita sebaliknya kini melihat polarisasi masyarakat yang dahsyat dan perpecahan dalam hal-hal berkaitan agama.

“Kini wujud perkembangan yang membimbangkan bila mana terdapat parti-parti politik yang mengupah kumpulan-kumpulan ‘hak istimewa’ dan media untuk meneruskan agenda mereka memecah-belah dan menyemai perbezaan di kalangan rakyat.

Kesannya kata beliau, setelah 56 tahun mencapai Merdeka, berlaku lebih banyak provokasi perkauman, hasutan yang menjurus kepada kebencian terhadap agama dan secara umumnya semakin banyak ucapan dan penulisan berbaur hasutan yang disiarkan oleh media cetak.

“Apa yang malang adalah ia bukan sekadar kelemahan kepimpinan dalam menjernihkan keadaan, tetapi tampak seolah-olah kerajaan sedang menggalakkan fenomena ini supaya menjadi lebih parah,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sebagai contoh katanya, ketika pelbagai tuntutan dan bantahan dinyatakan dari kalangan rakyat prihatin dan NGO, kerajaan sebaliknya membenarkan juga penayangan di seluruh negara sebuah filem berbaur perkauman walaupun nilai keseniannya masih boleh dipersoalkan.

“Di sebalik kebanggaan tentang negara, terdapat sensitiviti yang lebih besar yakni perkauman dan perasaan khalayak. Suara-suara melampau berbaur kebencian dan yang bersifat tidak toleran sedang menenggelamkan suara-suara kesederhanaan dan keterbukaan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: