Sabtu, 3 Ogos 2013

DAP sedia CEC diadakan semula, tetapi bukan kerana propaganda Utusan

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

















DAP hari ini menyatakan kesediaan untuk melakukan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi parti (CEC) berkenaan jika Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberikan sebab munasabah, kata penasihat parti itu Lim Kit Siang (gambar).

Lim berkata, DAP dan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui jika arahan itu dibuat berdasarkan dakwaan terdapat 547 pengundi hantu dalam perwakilan DAP ketika kongres parti berkenaan di Pulau Pinang tahun lalu.

"Jika ia bukan salah satu daripada sebabnya keputusan diambil RoS, apakah sebab sebenarnya," katanya dan menambah media arus perdana seperti Utusan Malaysia menyerang mereka dengan dakwaan 547 pengundi hantu menyertai kongres berkenaan.

 "Kewartawanan di Malaysia mencapai tahap apabila penipuan boleh menjadi kebenaran dan fiksyen menjadi fakta," kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Beliau berkata, artikel Awang Selamat yang mewakili suara editorial akhbar Umno itu Jumaat lalu menunjukkan contoh putar belit penipuan kepada kebenaran.

Utusan Malaysia jelasnya mengeluarkan ilustrasi kewartawanan Malaysia dengan terus memuat cerita berkenaan pengundi hantu dalam CEC mereka.

"Propaganda Umno-Utusan berharap ia akan diterima rakyat Malaysia. Mereka harap jika penipuan diulang-ulang beribu kali, ia akan menjadi fakta," katanya.

Tiada ulasan: