Sabtu, 24 Ogos 2013

DAP gesa Zahid Hamidi pinda undang-undang perkahwinan untuk pastikan kebajikan kanak-kanak agama lain

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya meminda undang-undang perkahwinan untuk memastikan kedua-dua pasangan selepas bercerai kekal bertanggungjawab dalam pendidikan anak-anak mereka walaupun berusia lebih 18 tahun.

Beliau menegaskan, reformasi perundangan amat perlu dilakukan untuk memastikan kebajikan semua kanak-kanak di Malaysia terjaga.

“Saya menggesa Zahid Hamidi agar mengkaji semula dan meminda dengan segera Seksyen 95 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Ini bagi memastikan kebajikan kanak-kanak bukan Islam terjamin jika ibu bapa mereka bercerai dan saya percaya semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat mahupun BN akan menyokong pindaan itu dengan sepenuh hati.

“Peruntukan semasa Seksyen 95 telah menyebabkan berjuta-juta pasangan dan kanak-kanak bukan Islam menderita, terutamanya yang berumur 18 tahun, dimana permulaan perbelanjaan pendidikan lebih berat dihadapi dalam fasa memasuki pra-universiti dan universiti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Seksyen 95 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menyatakan bahawa tanggungjawab kewangan ibu bapa dalam kes perceraian tamat apabila kanak-kanak mencecah usia 18 tahun

Teo yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata demikian merujuk kepada keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Azzeman Omar baru-baru ini yang memutuskan bahawa ibu bapa perlu terus memberikan bantuan kewangan untuk pendidikan kepada anak-anak dan kegagalan berbuat demikian boleh dianggap satu dosa.

“Saya mengalu-alukan dan memuji keputusan Hakim, Azzeman Omar memutuskan bahawa adalah wajib kepada seorang bapa walaupun bercerai untuk tetap membiayai pendidikan anak-anak mereka walaupun berusia 18 tahun ke atas.

“Sokongan terhadap keputusan ini tidak lahir dari sebarang keutamaan politik atau kecewa kepada sesiapa dalam kes saman itu, tetapi semata-mata kerana ia adalah keputusan yang adil dan tepat untuk melindungi kepentingan kebajikan kanak-kanak,” tegasnya.

Seksyen 79 undang-undang Keluarga Islam 1984 memperuntukkan bahawa ‘perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau orang lain melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi’.

“Namun, amat menyedihkan apabila peruntukan yang sama tidak didapati dalam undang-undang sivil negara kita.

“Kewajipan untuk mengekalkan dan bertanggungjawab kepada setiap kanak-kanak termasuk yang meningkat dewasa harus dipraktikan secara saksama untuk pasangan Islam dan bukan Islam, jadi ianya perlu dipinda,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: