Rabu, 14 Ogos 2013

Dakwa jenayah dirancang untuk ganti EO: Pemuda Umno lapor polis


OLEH DIYANA IBRAHIM

Pemuda Umno Malaysia membuat laporan polis ke atas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kerana mendakwa insiden kes tembak-menembak serta jenayah yang berleluasa di negara ini merupakan sebahagian daripada sandiwara Barisan Nasional (BN) bagi mengembalikan beberapa akta yang telah dimansuhkan.

Menurut  Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar laporan tersebut di buat hari ini di Balai Polis Indera Mahkota, Pahang.

Kata Khairy lagi, kenyataan Chong sebagai pemimpin kanan DAP  itu jelas menampakkan tahap pemikirannya yang cetek dan keanak-anakan bagi memperjuangkan politik kebencian yang diamalkan pembangkang terutama DAP selama ini.

 "Tohmahan serta tuduhan itu jelas merupakan satu bentuk hasutan yang serius, keterlaluan dan bertujuan mempengaruhi rakyat bagi membenci BN selaku kerajaan yang dipilih secara sah pada pilihan raya umum lalu,"katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ekoran itu, Pemuda Umno yang menyifatkan kenyataan itu sebagai "politik kotor" Chong berharap  ia dapat  membuka mata rakyat tentang kualiti pemikiran dan perjuangan politik para pemimpin pembangkang.

"Atas rasa tanggungjawab serta cintakan keamanan negara, kesejahteraan rakyat dan prinsip memperjuangkan amalan politik matang dan laporan ini sebagai bukti bahawa  satu tindakan undang-undang yang tegas dan adil dapat dilaksanakan ke atasnya," kata Khairy.

Semalam, portal The Borneo Post memetik kenyataan Chong yang  juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata kejadian jenayah yang meningkat di negara ini  adalah sebahagian dari rancangan kerajaan Barisan Nasional bagi menggantikan undang-undang baru menyerupai Akta Ordinan (EO).

Chong berkata demikian semasa sidang media yang berlansung di Ibu Pejabat DAP bagi mengulas mengenai isu jenayah yang tidak terkawal.

"Ia merupakan satu tindakan terancang apabila pemimpin BN termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menggunakan kesempatan peningkatan keganasan jenayah membabitkan senjata api untuk menperkenalkan undang-undang baru," dakwa beliau yang dipetik dari The Borneo Post.

Beliau juga berkata dengan berbuat demikian rakyat menjadi mangsa bagi agenda politik BN.

Chong memberitahu undang-undang seperti EO yang bakal diperkenal BN hanya membenarkan penyalahgunaan kuasa kerana sesiapa saja termasuk pemimpin pembangkang boleh ditahan tanpa dibicara di mahkamah.

Tiada ulasan: