Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan hari ini bahawa semua ahli yang sama ada dipecat atau digantung oleh CEC yang dipertikaikan itu, selepas Disember 2012, akan dibenar mengundi mengikut senarai perwakilan lama.
Pemilihan semula CEC akan berlangsung di lokasi yang belum disahkan di sekitar Lembah Klang, kata Lim.
"Semua 17 ahli yang sama ada dipecat atau digantung, boleh kembali sebagai perwakilan jika mereka mahu dan mengundi," katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP hari ini.
Senarai calon juga akan mengikut senarai calon yang sama ketika pemilihan CEC 2012 pada bulan Disember tahun lepas di Pulau Pinang.
"Senarai calon adalah akan sama, kecuali satu nama," kata Lim.
Satu-satunya perbezaan dalam senarai calon itu ialah tanpa John Fernandez, bekas MP Seremban yang meletak jawatan dari parti sebelum pilihan raya umum Mei lalu.
Namun, kata Lim, John boleh kembali sebagai perwakilan dan
mengundi.
Sementara itu, Lim (kiri dalam gambar) juga berkata bahawa parti itu akan mendapatkan perakuan pos untuk semua jemputan yang dihantar kepada para perwakilan supaya ia tidak lagi boleh dituduh tidak memaklumkan mengenainya kepada mereka.
"Kami tidak akan memberi Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebab untuk mencari alasan yang sama terhadap DAP," katanya.
Lim menegaskan bahawa parti itu mengadakan pemilihan semula "dalam protes" dan hanya mematuhi ROS untuk mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan