Mohamed Hanipa Maidin, |
Baik dalam Parlimen atau di luar Parlimen ahli ahli Parlimen BN kuat meneriak agar Ordinan Darurat ( EO ) yang telah dimansuhkan dan kini berehat di dalam kubur untuk dihidupkan semula. Alasan mereka hanya dengan EO gejala jenayah berat dapat diselesaikan. Mantan Ketua Menteri Melaka , Ali Rustam pergi lebih jauh lagi - beliau menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat ( PR ) di atas segala jenayah pembunuhan ala mafia yang berlaku sekarang. Mahathir pula menyatakan Kerajaan BN menggadaikan kebebasan dengan pemansuhan EO.
Mantan Ketua Polis Negara (KPN ) , Rahim Noor dan KPN pula mahukan Kerajaan menghidupkan semula EO. Agak lucu juga Rahim Noor bercakap tentang jenayah dalam keadaan beliau sendiri telah gagal memastikan keselamatan orang yang ditahan di lokap polis-tempat yang sepatutnya paling selamat-benar benar selamat. Adakah beliau telah lupa bagaimana beliau sebagai KPN telah mencederakan Anwar Ibrahim di dalam lokap polis. Jika polis melakukan jenayah sudah dikira jijik bagaimana pula jika Ketua Polis yang melakukan jenayah dan jenayah pula dilakukan di dalam lokap polis?
Adakah benar EO ubat yang mujarab bagi menyelesaikan jenayah berat seperti kongsi gelap? Jika benar sudah pasti sudah lama gejala kongsi gelap telah dapat diselesaikan kerana EO hanya dimansuhkan setelah usia EO mencapai usia emas.Seperti yang kita tahu EO membenarkan penahanan tanpa bicara seperti ISA, maka sepanjang tempoh EO masih hidup dan bernyawa logiknya sudah tentu sudah ramai ketua ketua kongsi gelap yang berjaya ditahan sekaligus segala kegiatan dan modus operandi mereka sudah boleh dikenal pasti. Jadi mengapakah ketua polis masih mengeluh kita masih masih perlukan EO?
Hakikatnya EO bukan sahaja digunakan ke atas penjenayah berat malahan penjenayah biasa yang terlibat dengan kesalahan yang dikira kecil juga menjadi mangsa EO. Peguam yang biasa mengendalikan jenayah tahu sangat perkara ini. Tapi itu bukan isunya mengapa PR dan mana mana individu yang prihatin meminta EO dimansuhkan.
Ya, jenayah berat isu kita bersama.Namun sejahat mana pun seorang penjenayah mereka masih seorang manusia. Mereka ada hak iaitu hak sebagai seorang manusia. Hak ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia itu. Hak itu wujud sebelum wujudnya mana mana undang undang di negara di dunia ini. Hak itu hak yang sentiasa ada sekalipun tiada apa apa undang undang dalam mana mana negara. Di dalam bahasa ingggeris ianya dikenali sebagai "inalienable rights".
Atas dasar itu apabila Presiden Amerika Thomas Jefferson mengumumkan Perisytiharan Kemerdekaan ( Declaration of Independence ) di dalam perenggan kedua Perisytiharan Kemerdekaaan tersebut wujudnya kata kata ini " kami menerima perkara berikut sebagai satu kebenaran yang nyata iaitu semua manusia dilahirkan sama dan mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka beberapa hak yang tidak boleh dipisahkan dari mereka ..". Ada sarjana undang undang yang menyatakan kata kata tersebut menunjukkan wujudnya pengaruh Islam dalam Perisytiharan Kemerdekaan tersebut. Mereka yang mempelajari sejarah Islam sudah tentu arif dengan kata kata Khalifah Islam Syaidina Umar r.a kepada Gabenor Mesir , Amru Al-As " sejak bilakah kamu diberi izin memperhamba sesama manusia sedangkan ibu ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan bebas". Kata kata syaidina Umar itu ditujukan kepada Gebenornya sendiri apabila anak Gabenor memukul rakyat biasa sambil membanggakan dirinya dengan kata-kata " ana ibnu al -akramin" ( aku anak orang yang mulia).
Antara hak orang yang ditahan yang tidak boleh dipisahkan dari mereka sejahat mana mereka sekalipun adalah hak untuk dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah dan termasuk hak itu adalah hak untuk dibicarakan dan sekaligus hak untuk membela diri. Kerana hak itu bersifat azali maka sebab itu Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf hak tersebut dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin Umno/BN , Rahim Noor dan KPN yang ada ini tidak ambil peduli hak hak ini. Bagi mereka menahan tanpa bicara sekalipun bertentangan dengan prinsip keadilan dan prinsip asas undang undang jenayah iaitu seseorang dianggap tidak bersalah adalah suatu perkara yang remeh dan tidak perlu diambil berat. Persoalannya bagaimanakah kita nak meremehkan sesuatu hak yang Pencipta manusia itu sendiri berikan?
Satu kesilapan dalam berfikir pemimpin Umno , Rahim Noor dan KPN adalah mereka membuat anggapan apabila ada rakyat yang bercakap tentang hak orang yang ditahan mereka dikira tidak ambil berat kepada mangsa jenayah. Anggapan ini amat amat salah. Mana mungkin PR memandang remeh kepada mangsa penjenayah kerana mana mana mangsa penjenayah itu sudah tentu dalam apa keadaan sekalipun mempunyai hubungan dengan mana mana pemimpin atau ahli ahli PR sama ada saudara mereka atau jiran mereka atau paling kurang rakyat senegara.
PR mahu gejala jenayah berat dibanteras. Mereka perlu ditangkap tetapi mestilah dibicarakan. Jika perbicaraan ke atas mereka sukar disabitkan kerana masalah untuk dikemukakan keterangan dan bukti apa yang perlu dilakukan bukan menahan mereka tanpa bicara sebaliknya undang undang keterangan bagi pengemukaaan bukti bagi kes berat boleh dikaji semula tanpa kompromi perbicaraan yang adil. Sebagai satu contoh amat sukar untuk membuktikan pengedaran dadah dalam perbicaraan kes dadah. Sebab itulah undang undang dadah dipinda dengan memperkenalkan pembuktiaan melalui anggapan atau pembuktian melalui agen provokator (polis yang menyamar). Ini dilakukan tanpa melenyapkan hak orang yang ditahan untuk dibicarakan.
Apa yang kita takut dan mempunyai sebab untuk takut apabila didedahkan oleh bekas bekas pegawai polis yang berpangkat tinggi gejala jenayah kongsi gelap dan pembunuhan ala mafia ini terus berlaku kerana penglibatan pegawai pegawai polis dan ahli ahli politik. Apa yang berlaku kepada mendiang Altantuya membuktikan dakwaan itu bukan suatu yang kosong. Bagaimanakah bom C4 yang digunakan untuk meletup banggunan boleh terlepas begitu sahaja. Bagaimanakah anggota anggota keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan Menteri boleh terlibat dalam pembunuhan ngeri sebegitu. Ini yang patut kita bincangkan bukan beri nyawa sekali lagi kepada EO!!!
*Penulis adalah Ahli Parlimen Sepang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan