Selasa, 6 Ogos 2013

Apabila Datuk Seri Najib menyeru kepada Islam

Mohammad Faizal Che Yusof,

Teruja? Memang teruja bila mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru untuk rakyat menerokai kandungan kitab suci al-Quran dengan membaca dan memahami ayat demi ayat seterusnya mengajak umat Islam menjadikan generasi sekarang sebagai generasi al-Quran.

Memetik daripada laporan Bernama 5 Ogos 2013 sewaktu merasmikan pusat percetakan Mashaf al-Quran di Kuala lumpur, antara lain beliau menyebut, "Jadikanlah pembacaan al-Quran itu sebagai budaya kita, mudah-mudahan kita akan memperolehi keberkatan dan petunjuk,".

Biarlah entah berapa kali kata-kata sedemikian telah dilontarkan oleh Datuk Seri Najib, saya tetap teruja dengan gesaan tersebut. Dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, saya mendoakan kata-kata yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tersebut mampu menusuk ke jantungnya, tertanam di lubuk hati beliau yang paling dalam untuk beliau mendahului yang lain melaksanakan dan mengotakan apa yang dikata.

Biarlah ucapan beliau tersebut umpama manisnya kempen pilihan raya, itu tidak kisah. Nama pun ahli politik. Apatah lagi laporan tersebut juga dipautkan dalam ruang politik.

Mendahului gesaan tersebut sehari sebelumnya, dalam ucapan beliau di Pekan, Datuk Seri Najib telah menyeru agar seluruh umat Islam di negara ini bersatu dengan mencari titik pertemuan biarpun berbeza ideologi politik. Beliau nyatanya sedar bahawa politiklah antara punca membawa kepada umat Islam di negara ini berpecah lantaran gagal memahami al-Quran dan menhayati isi kandungannya.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum PRU 13 lalu, seorang ulama Umno ada menyebut kepada saya. “Alangkah baiknya apabila orang-orang PAS masuk Umno. Orang-orang PAS ni baik. Mereka berpegang kepada Islam. Masuk Umno, dakwahlah orang-orang dalam Umno supaya semua orang Umno jadi baik dan berpegang kepada Islam”.

Satu persoalan yang boleh kita fikirkan, adakah perpecahan itu secara mutlaknya salah? Mari kita renung satu perumpamaan ini. Sepohon pohon jati ditebang. Dikerat dan dipotong batangnya. Maka pohon jati yang tadinya satu dan bersatu kini telah pecah dan terpisah.

Apakah kebaikan hilangnya kesatuan pohon jati tersebut? Akhirnya pohon jati yang dipecah dan dikerat tadi disatukan dengan pelbagai rupa bentuk yang dinamakan perabot dan pelbagai binaan.

Perbezaan pendapat dan perpecahan kesatuan itu adalah lumrah alam yang telah ditentukan Allah. Justeru, terpulang kepada kitalah untuk mengurus perbezaan dan perpecahan tersebut agar kebaikan akhirnya diperoleh.

Apabila politik dikatakan menjadi punca kepada perpecahan umat Islam, ia bukanlah menjadi masalah besar jika kita kembali kepada apa yang difirmankan Allah SWT agar kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Tidak perlu timbul gesaan untuk orang PAS masuk Umno kerana PAS sendirinya akan hilang apabila Umno ikhlas melaksanakan dan menegakkan hukum Allah. Itulah jaminan PAS sebagaimana yang sering disuarakan oleh Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Aziz Hj Nik Mat, mantan menteri besar negeri Kelantan.

Datuk Seri Najib pastinya sedar selama ini siapa yang menjadi mangsa kepada perbezaan ideologi politik ini. Siapa yang teraniaya dalam banyak isu apabila berbeza politik. Siapa yang dinafikan pelbagai hak apabila berbeza politik. Tentunya tiada individu muslim yan gakan menolak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan langkah untuk benar-benar memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran secara menyeluruh dan tidak terpilih.

Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri seharusnya sedar dan faham apabila seruan kepada Islam dilaungkan, ia bermakna setiap individu muslim atas apa jua kapasiti wajip tunduk kepada setiap inci perintah dan larangan Allah dan sedia dipertanggungjawabkan pada hari mahsyar kelak.

Menyeru kepada Islam bermakna kesediaan permerintah menyediakan keperluan kepada setiap hamba rakyat, tidak terhad kepada mereka yang kita sayangi, bahkan juga kepada rakyat miskin, golongan OKU, permudahkan perjalanan rakyat yang bermusafir bukan kesulitan pelbagai saman  dan keperluan mereka yang bukan beragama Islam.

Menghayati al-Quran bermakna setiap janji mesti dikota, tiada lagi pengkhianatan atas apa jua alasan dan tiada lagi diskriminasi terhadap rakyat atas apa jua justifikasi.

Justeru, Datuk Seri Najib wajar memulakan langkah untuk rakyat sama-sama faham dan terus menghayati setiap isi kandungan al-Quran. Lunaskan setiap janji pilihan raya, tunaikan segala persetujuan termasuklah perjanjian royalti dan petroleum antara Petronas dan kerajaan negeri, pastikan rakyat menikmati pembangunan negara meskipun tidak menyokong Umno, benteras dan perangi setiap jenayah termasuk amalan rasuah.

Jika gergaji dan kapak yang menebang dan memecahkan pohon jati, gergaji dan kapak jugalah menyatukan kayu jati. Demikianlah halnya apabila politik dikatakan memecah belahkan rakyat, politik jugalah alatnya menyatu padukan rakyat.

Sekali pemimpin sedia melaksanakan keadilan, seribu kali rakyat yang cintakan Islam akan bersama. Sebaliknya, satu langkah menafikan keadilan, seribu penentangan bangkit menolak kepimpinan. Moga Ramadhan 1434H meninggalkan bekas-bekas takwa untuk bekalan menempuh hari mendatang buat Malaysia yang tercinta.

Tiada ulasan: