Khamis, 25 Julai 2013

Warga Kuala Besut, nantikan limpahan pembangunan

Dr Azman Ibrahim,




Pertama sekali tahniah kepada warga Kuala Besut atas pilihan anda semua. Nyata dan jelas sekali BN masih di hati pengundi Kuala Besut.

Pada PRK Kuala Besut hari ini, calon PAS, Endot @ Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long mendapat 5,696 undi sementara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 undi.

Walaupun rata-rata pengundi yang sempat saya temui sepanjang tempoh kempen mengakui ketinggian budi, keluhuran peribadi calon PAS, tetapi… saya nukilkan beberapa dialog yang dilalui sendiri sepanjang 12 hari kempen PRK Kuala Besut dengan masyarakat setempat.

“Mok cik ni jak zaman ritu lagi pakoh dacing, lagu mano pun mok cik dok leh tukar, hok awe royat tu comey blako doh, tapi nak wat guano, mok cik dok leh pakoh hok lain dari dacing..”

“Calon Pas ni kito kenal, ore baik, jjuruh, suko tolong ore. Tapi gak ambo dok tukar dengan dacing walau mari malaikat pun…”

“kawe ni ore susah, mmikir setakat nak makan anok beranok loo jah! Sapo hok buleh wi pitih, hok tu kawe undi..”

“Mintak maaf laa awe weehh… anok-anok ambo sekoloh ramai lagi, kan keno tarik bantuan, dok berasap laa dapur ambo…”

Apa yang cuba saya nukilkan di atas adalah sedikit gambaran cara berfikir warga Kuala Besut. Ternyata slogan ‘16:16 Terengganu Baru’ sedikit pun tak berbekas di hati pengundi yang digambarkan hasilnya dengan peningkatan majoriti kemenangan BN.

Ternyata orang Kuala Besut bukanlah idealis dan boleh dipengaruhi dengan isu-isu walaupun apa yang kita bawa adalah isu setempat yang mampu dipandang dan ‘dikelih’ oleh mata kasar.

Mereka lebih memikirkan survival hidup hari ini, esok dan seterusnya… ‘nok wat make loo’ ikut istilah orang Besut. Mungkinkah idea-idea yang  kita sepanjang kempen bawa tak mampu dihadam dengan baik oleh mereka?

Seorang teman seperjuangan menitipkan mesej, “bersabarlah wahai para pejuang. Kita bukan berlawan dengan Umno/BN, tetapi kita berhadapan dengan gerombolan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan segala macam machinery, money and media. ‘Habih tea’ ikut istilah orang Besut.

Saya mengakui kebenaran kata-kata sahabat ini. Apakah kemenangan dengan cara ini bermaruah? Aaah! Persetankan istilah maruah dan integriti. Dengan wang dan kuasa, segalanya mungkin.

Nyata dengan janji pembangunan yang tak pernah dilihat oleh mata, orang Kuala Besut akan memahat sejarah mencipta tamadun! Muara Sungai Besut akan bertukar menjadi gerbang pelancongan antarabangsa dengan peruntukan RM250 juta.

Empangan baru Pengkalan Nangka RM35 juta. Sekolah Menengah Alor Peroi, rumah pangsa mampu milik Tok Saboh serta pelbagai lagi projek pembangunan.

Diharap selepas ini Lebuhraya Pantai Timur akan disambungkan terus ke Kuala Besut. Peruntukan hampir RM400 juta untuk sebuah Dun sekecil Kuala Besut dengan hanya lebih 17 ribu pengundi adalah suatu limpahan yang hebat.

Tahniah sekali lagi warga Kuala Besut. Diharap tempiasnya akan mengalir sedikit sebanyak ke Jabi dan tentunya warga Pasir Puteh yang bersepadan juga berminat untuk tumpang sekaki.

Seorang teman di Besut sempat melahirkan ‘kebimbangannya’ “Lagu tu punyo janji, ambo bimbe kawasan lain pun turut buat semayang hajat, mintok tok wokil dia mati awal…” saya hanya mampu tersenyum.

Selamat menempuh baki 15 hari lagi dari bulan Ramadhan al Mubarak.

Tiada ulasan: