Isnin, 15 Julai 2013

Wajib Titas umpama indoktrinasi, kata NGO

MALAYSIA KINI


 
Satu gabungan NGO mahu kerajaan mempertimbang semula keputusan untuk mewajibkan mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) sebagai subjek wajib kepada semua siswa.

Gabungan NGO berkenaan terdiri dari sekumpulan organisasi anak muda Cina dikenali dengan nama Emco, Buddhist Research Society of Malaysia (BRSM) dan Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM), tidak bersetuju dengan usaha yang didakwa satu “indoktrinasi” ke atas siswa itu.

Emco terdiri dari Young Buddhist Association of Malaysia, Malaysia Christian Youth Association, United Youth Movement of Malaysia, Malaysia Entrepreneurs' Development Association, Malaysian Young Graduates Association, The Federation of Clans and Guilds Youth Association of Malaysia, Junior Chamber International Malaysia dan Young Malaysians Movement.

Setiausaha agung Young Buddhist Association of Malaysia Wong Sook Kim yang bercakap bagi pihak kumpulan berkenaan berkenaan mendakwa, ketetapan baru itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menurutnya menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya.

"Kami tidak bersetuju dengan cadangan untuk mana-mana arahan agama atau pengajian tamadun keagamaan dijadikan mata pelajaran wajib di peringkat pengajian tinggi.

“Kami percaya bahawa penguatkuasaan dasar yang salah ini akan membawa kepada kesan negatif.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan supaya menimbang semula yang mengkaji isu ini untuk memastikan objektiviti lebih luas dan untuk menghormati dasar kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Wong berkata kerajaan perlu mengetepikan pendekatan “sempit dan sektarian” dalam pendidikan dan juga menghormati kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia.

"Dalam merancang mata pelajaran berhubung tamadun agama, pertimbangan perlu diberikan kepada sejarah agama utama, doktrin serta kesan agama ke atas pembangunan ketamadunan.

"Perancangan mata pelajaran ini tidak sepatutnya menonjolkan sesuatu ajaran agama sahaja,” katanya.

Wong berkata, mata pelajaran mengenai pelbagai tamadun agama boleh dijadikan subjek elektif untuk pilihan pelajar yang berminat, katanya.

Tiada ulasan: