Sabtu, 20 Julai 2013

Terkejut pendirian Umno dalam isu Allah, Kristian mahu Kabinet laksana penyelesaian 10 perkara

Oleh Md Izwan

Kumpulan Kristian terbesar yang mahu Putrajaya melaksanakan penyelesaian 10 perkara berhubung penggunaan kalimah Arab “Allah” oleh komuniti itu terkejut dengan kenyataan dibuat oleh dua pemimpin Umno berhubung perkara itu.

Pengerusi  Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) Rev Dr Eu Hong Seng, berkata kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan “tidak dapat dipertahankan dan bertentang dengan penyelesaian 10 perkara diputuskan oleh Kabinet pada April 2011.”

“Penggunaan perkataan “Allah” dalam Al-Kitab bukan dan tidak pernah kerana kesilapan cetakan seperti didakwa oleh Yang Berhormat Menteri. Cadangan sedemikian tidak sensitif, menghina dan membangkitkan kemarahan.

“Kami ulangi ia adalah hak untuk komuniti Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’,” kata Eu dalam satu kenyataan hari ini.

"Ia menyinggung perasaan dan tidak boleh diterima bagi Yang Berhormat Menteri cuba untuk merasionalkan seruan Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab suci kita dengan mengatakan Kitab Suci kita mengandungi kesilapan dalam percetakan," katanya.

CFM hari ini turut mengedarkan sepucuk surat dua muka daripada Pejabat Perdana Menteri pada tahun 2011 di mana Putrajaya memberi kelulusan kepada penganut Kristian untuk menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu dan beberapa kelonggaran lain.

Menurutnya, tindakan Mukhriz mengharamkan bukan Islam daripada menggunakan perkataan "Allah" di negeri Kedah sebagai tidak berperlembagaan.

Surat bertarikh 11 April 2011 ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan 10 perkara utama untuk meredakan ketegangan antara penganut Kristian dengan majoriti penganut Islam ketika itu.

"Pada April 2011 kerajaan bersetuju untuk mengumumkan 10 perkara kunci untuk menangani isu Injil dan isu berkaitan lain.

"Saya ingin tegaskan ini adalah keputusan bersama Kabinet," kata Najib dalam surat itu.

Dalam surat itu, kerajaan turut menyatakan pendirian dalam semua bahasa boleh diimport masuk ke dalam negara termasuk bahasa Malaysia atau Indonesia, serta boleh digunakan di semenanjung Malaysia.

"Kitab Injil dalam semua bahasa boleh diimport ke dalam negara termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia.

“Kitab Injil ini juga boleh dicetak di Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia. Perkembangan terbaru ini akan pastinya dialu-alukan oleh kumpulan penganut Kristian," kata surat itu lagi, tetapi bagi kitab Injil di semenanjung Malaysia muka depannya perlu perkataan "Christian Publication" dan gambar salib.

Putrajaya juga menawarkan pemulangan semua kitab Injil yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa sebarang pembayaran.

"Bagi kitab Injil yang ditahan di Kuching, Gideon, pengiimport boleh mengutip semula 30,000 kitab percuma tanpa bayaran.

"Tawaran sama juga diberikan kepada 5,100 kitab Injil yang ditahan di Pelabuhan Klang," katanya.

Dalam surat itu lagi, Najib juga menegaskan arahan diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan pelaksanaan 10 perkara itu dan jika gagal tindakan tegas akan diambil.

"Gagal untuk mengikut perintah akan menyebabkan pegawai terbabit dihadapkan ke tindakan disiplin dibawah Arahan Umum," kata Najib lagi.

Tiada ulasan: