Isnin, 15 Julai 2013

Tahniah DAVID TEO Kerana Terbitkan Filem Dakwah


Blog mutaligat.blogspot.com
 

Kali ini saya ingin bercerita tentang filem tersasar sedikit dari isu yang selalu saya bangkitkan iaitu isu politik dan masyarakat. Sengaja untuk bersantai-santai di bulan puasaini.


Seperti yang kita sedia maklum tidak banyak filem dakwah diterbitkan di Malaysia. Tidak pasti mengapa penerbit filem tidak suka menerbitkan filem seumpama ini. Adakah mereka takut filem sebegini tidak ramai peminat dan jika ia diterbitkan mereka bakal menanggung kerugian.

Bagi saya pihak penerbit filem mesti berani mempelbagaikan corak filem mereka supaya industri filem kita lebih 'versatile' dan dinamik. Jangan hanya bergantung kepada filem cinta, komedi, ganas dan sebagainya.

Saya yakin sekarang ini ramai rakyat Malaysia berminat dengan Islam dan dakwah. Maka penerbit filem mesti mengambil peluang ini untuk memasarkan filem mereka kepada masyarakat.


Malah kita sekarang mempunyai stesyen TV dakwah seperti TV Al Hijrah, ASTRO Oasis dan sebagainya.
Setakat ini hanya seorang penerbit filem yang berani menerbitkan filem berunsur Islam dan dakwah. Lebih hebat lagi beliau bukan penganut agama Islam. Namanya David Teo, nama besar dalam industri filem negara setanding dengan Dato Yusof Haslam dan lain-lain.

Usaha David Teo menerbitkan filem dakwah memang wajar dipuji kerana filem seperti ini memang sukar mendapat sambutan. Tetapi beliau berani mengeluarkan modal sebanyak RM1.5 juta untuk menerbitkan sebuah filem dakwah sedangkan ia rugi di pasaran. Sehingga kini beliau telah menerbitkan tiga buah filem dakwah iaitu 7 Petala Cinta (Mac 2012), Salam Cinta (September 2012) dan Dua Kalimah (April 2013).

Filem sebegini tidak balik modal tetapi David Teo tetap melabur sebagai usahanya untuk menerbitkan filem dakwah di negara ini. Filem 7 Petala Cinta lakonan Aeril Zafrel, Shima Anuar, Fizo Omar dan Diana Amir diarahkan oleh Azhari Mohd Zain. Ia mengisahkan Attar (Aeril Zafrel) jatuh cinta kepada anak guru di madrasahnya, Saidatul Nisa (Shima Anuar) yang sudah bertunang dengan Hamka (Fizo Omar). Hamka melanjutkan pelajarannya di Yaman dan khabarnya beliau telah meninggal dunia. Di saat-saat Attar dan Saidatul Nisa mahu dinikahkan, Hamka kembali ke madrasah. Filem ini menarik kerana ia banyak menimbulkan unsur-unsur dakwah. Azhari Mohd Zain sekali lagi diberi peluang mengarah filem dakwah oleh David Teo, Salam Cinta. Filem lakonan Kamal Adli dan Diana Amir ini mengisahkan seorang pelakon, Amirul (Kamal Adli) pergi ke kampung untuk mendalami watak orang alim, watak yang akan dipegangnya dalam filem terbarunya. Cinta kepada Laila Di sini Amirul menemui Laila (Diana Amir) dan bibit pertemuan itu menginsafkannya supaya merubah cara hidupnya yang jauh dari pegangan agama. Amirul berubah sikap kerana cintanya kepada Laila.

David Teo bukan sahaja memberi peluang kepada Azahari Mohd Zain untuk mengarahkan filem dakwah. Malah pengarah wanita, Elya Rahman turut diberi peluang untuk mengarahkan filem Dua Kalimah, sebuah lagi filem dakwah terbitan David Teo. Filem lakonan Shaheizy Sam dan Nora Danish ini mengisahkan sepasang kekasih Aiman (Shaheizy Sam) dan Selena (Nora Danish) pulang ke kampung Aiman dan menyamar sebagai suami isteri. Di kampung itu mereka melihat balasan di dunia orang yang berzina, mengamalkan ilmu sihir dan tidak menghormati orang tua. Selena rasa bersalah kerana membohongi keluarga Aiman. Dia mahu menceritakan hal sebenar kepada keluarga Aiman tetapi diugut oleh Aiman. Bila Aiman sakit, barulah Aiman insaf di atas perbuatannya. Kita hairan kenapa penerbit jutawan seperti Datuk Yusof Haslam tidak berani menerbitkan filem dakwah tetapi David Teo yang tidak memikirkan keuntungan berani melabur dalam filem sedemikian rupa.

Filem 7 Petala Cinta cuma memungut RM1.03 juta sahaja. Penerbitan filem ini rugi tetapi beliau terus menerbitkan Salam Cinta dan Dua Kalimah. Beliau tetap melabur dalam filem dakwah walaupun risiko keuntungannya sudah diketahui umum. Oleh itu wajarlah usaha David Teo menerbitkan filem dakwah ini diberi pujian. Adalah diharapkan David Teo dapat menerbitkan lebih banyak lagi filem dakwah seperti Ketika Cinta Bertasbih, sebuah filem Indonesia yang popular.

Banyak sekali unsur-unsur dakwah yang boleh difilemkan antaranya filem yang berunsur sejarah, peperangan, perjuangan rasul dan nabi serta lain-lain. Pihak JAKIM dan lain-lain agensi Islam perlu tampil untuk mengagaskan usaha-usaha pembikinan filem Islam ini antaranya memberikan galakan kepada penulisan skrip filem Islamik, peruntukan untuk latihan dan kursus mencungkil bakat-bakat baru samada penulis skrip, pelakon, pengarah dan sebagainya.

Tiada ulasan: