Jumaat, 5 Julai 2013

Rampasan kuasa di Mesir, apa sikap Malaysia?


Oleh Dr Azman Ibrahim 

Parti Refah pimpinan Dr Necmettin Erbakan menang besar dalam pilihanraya Turki pada tahun 1996. Dr Necmettin dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan kerana digulingkan oleh tentera yang menjadi pelindung setia kepada sistem sekular Turki pada tahun 1997.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan pelbagai pertuduhan manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara 2 tahun tetapi dibebaskan serta mendapat pengampunan selepas itu dari Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sejarah seakan berulang kembali, Dr Mohammed Mursi dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Mesir dilantik sebagai Presiden pilihan rakyat pada tarikh 30 Jun 2012 setelah memenangi Pilihanraya Presiden dengan mendapat 51.7 peratus undi. Dr Mursi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui pilihanraya secara demokratik, selain merupakan orang awam pertama yang memegang jawatan tersebut.

Menjelang dinihari pagi 4 Julai 2013, kira-kira setahun empat hari mentadbir Mesir dengan, Ketua Majlis Angkatan Bersenjata Mesir, Jeneral Abdul Fatah As-Sisi dengan disokong Syeikh al-Azhar lantikan Hosni Mubarak, Ahmed al-Tayyeb, mengistiharkan rampasan kuasa.

Walaupun dinafikan oleh pihak tentera bahawa ia adalah rampasan kuasa, apa lagi istilah yang boleh digunakan apabila apabila Pasukan Pengawal Republik menduduki stesyen televisyen, menangkap ketua stesyen TV Misr25, mengarahkan pihak lapangan terbang menyekat perjalanan pemimpin Ikhwan, beribu orang tentera berkonvoi di jalan-jalan utama Kaherah, kereta kebal memenuhi jalan-jalan, maka apa lagi istilah yang sesuai digunakan kalau ini bukan rampasan kuasa.

Berita yang diterima melaporkan Morsi dikenakan tahanan rumah. Kita meyakini susulannya dari rampasan kuasa ini, Mursi, pimpinan FJP dan Ikwan Muslimun akan dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan yang direka-reka selepas ini sebagai alasan untuk proses penangkapan secara besar-besaran.

Di kalangan pemimpin Negara ummat Islam, Perdana Menteri Turki kelihatan paling tegas dan bermaruah di dalam isu ini apabila secara jelas mengistiharkan bahawa Turki tidak mengiktiraf rampasan kuasa yang tak bertamaddun ini dan akan terus berurusan dengan kerajaan yang sah pilihan rakyat pimpinan Presiden Mursi.

Kita tentunya memandang sinis dengan kenyataan Presiden Obama yang mengesa supaya dipulangkan semula kuasa pemerintahan Mesir kepada kerajaan pilihan rakyat. Manakan tidak, ketika seluruh dunia memaklumi bagaimana dokongan kukuh Obama kepada Yahudi Israel dan segala polisi zalim mereka terhadap Palestin. Sedangkan polisi Mursi adalah membela Palestin dan anti Israel. Tiba-tiba seolah-olah Obama sebagai bapak pelindung Israel ingin menunjuk baik. Sungguh inilah telunjuk lurus kelinking berkait!

Bagaimana sikap kita Malaysia? Perdana Menteri jangan berlagak bacul tanpa apa-apa penegasan bermakna dalam isu ini. Yang pertama atas nama sesama negara Ummat Islam. Yang kedua atas nama demokrasi. Yang ketiga atas nama hak asasi manusia. Tak kan kita nak melihat sahaja mereka yang tidak bersalah sedang berhadapan dengan tindakan rakus dan agresif polis serta tentera Mesir.

Parlimen sedang bersidang. Ayuh bentangkan satu usul mengutuk rampasan kuasa ini. Kemudian isytiharkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tindakan rampasan kuasa yang tak bertamadun. Kalau perlu tarik balik Duta Malaysia di Mesir sebagai menandakan seriusnya bantahan kita sehingga mandat rakyat dikembalikan. Beranikah kita?

(*) Penulias ialah AJK Perhubungan PAS Terengganu.

Tiada ulasan: