Oleh Lim Hong Siang 'MINDA kita diasuh, kalau bukan otak kita dibasuh untuk takut kepada "kekecohan" seandainya gandingan politik yang bertentangan mempunyai kekuatan yang setanding. Mentaliti ini terserlah apabila Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa Terengganu akan berdepan dengan situasi politik yang tidak stabil seandainya PAS menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut. Senario 16-16 kerusi Dun terus digambarkan bakal meletakkan Terengganu dalam keadaan yang tidak menentu, malah boleh mencetuskan krisis perlembagaan. Saya tidak tahu apakah yang sarat dalam otak Timbalan Perdana Menteri ini. Persempadanan kawasan pengundian dengan jumlah 32 kerusi sendiri memungkinkan senario 16-16 ini berlaku. Perkara ini sesuatu yang mudah difahami, umpama pilihan raya umum. Kalau Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya, maknanya rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menggulingkan kerajaannya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal apabila "menggulingkan kerajaan" diuar-uarkan bagai dosa yang besar di negara ini. Setahu saya, tukar kerajaan hanya menjadi dosa di negara komunis seperti China. Kita perlu akur dengan hakikat yang terpampang di depan mata. Ia bukan "tsunami politik", yang dicetuskan sentimen atau emosi sehingga masyarakat kita terbahagi dua. Dari PRU12 pada tahun 2008, hinggalah PRU13 pada tahun 2013, keputusan 505 menunjukkan bahawa lebih 50 peratus pengundi Malaysia menolak Barisan Nasional. Inilah realiti yang harus diterima semua orang, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat. Sokongan terhadap Pakatan mantap, bukan disebabkan angin perubahan secara tiba-tiba, atau pengundi sekadar mahu melepaskan geram. Untuk lima tahun selepas PRU12, kita melihat kekuatan yang sama rata antara BN dengan Pakatan - sama ada melalui pilihan raya kecil, mahupun hasil soal selidik. Justeru, jikapun persempadanan semula kawasan pengundian untuk menjadikan jumlahnya angka ganjil, ia sekadar menyelesaikan masalah secara "teknikal", tetapi gagal menutup realiti bahawa kekuatan Pakatan dan BN sebenarnya terikat pada 50-50. Senario ini tidak pelik di negara demokrasi yang sudah matang sistem dua partinya. Masing-masing hanya mampu meraih majoriti 1-2% lebih daripada pesaingnya. Yang aneh bin pelik adalah situasi di mana parti yang memenangi 51% undi popular, tetapi hanya menawan 40% kerusi, atau parti yang hanya memperolehi 47% undi popular, tetapi menawan 60% kerusi. Kegagalan sistem pilihan raya menterjemahkan undi kepada kerusi kini dipersalahkan kepada Pakatan oleh pemimpin BN. Cuba bayangkan, apakah reaksi pemimpin BN, seandainya mereka berada pada kedudukan Pakatan - menang lebih undi, tawan kurang kerusi? Sesiapa yang waras akan bangkit menyuarakan ketidakpuasan, apabila kemenangannya dicuri oleh musuhnya. Yang harus dipersalahkan sebenarnya adalah pemimpin BN sendiri. Sejak awal soal persempadanan yang tidak adil ini dibangkitkan, dengan fakta bahawa BN tidak pernah meraih majoriti dua pertiga dari segi undi popular, pada masa yang sama tidak pernah kehilangan majoriti dua pertiga dari segi bilangan kerusi Parlimen (kecuali pada tahun 1969) - sebelum PRU12 pada 8 Mac 2008. Paling ketara, BN meraih lebih 90% kerusi Parlimen dengan hanya 63.85% undi popular pada tahun 2004. Namun pemimpin BN langsung tidak mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan, kerana persempadanan sedia ada menguntungkan diri mereka. Jadi, ketaksuban kuasa pemimpin BN-lah yang menjerat 1-Malaysia ke dalam senario yang kononnya "tidak stabil" ini. Bukan sahaja pemimpin Pakatan dipersalahkan, malah pengundi pula diberi amaran bahawa mereka perlu memilih BN untuk mengelakkan berlakunya "ketidakstabilan". Padahal, senario sedemikian menguji sejauh manakah seseorang pemimpin berjiwa besar untuk menangani situasi ini. "Penyatuan" semula masyarakat boleh berlaku. Betapa benci sekalipun anda terhadap Amerika Syarikat, Barack Obama dalam ucapannya sebaik sahaja menang dalam pertarungan sengit pemilihan Presiden, terus mengiktiraf dan memuji pesaingnya daripada parti musuh kerana sumbangannya demi Amerika Syarikat yang lebih baik. Di Malaysia, setelah merompak kemenangan musuhnya, komuniti Cina pula dipersalahkan dengan menyifatkan keputusan PRU13 sebagai "tsunami Cina". Kemudian, mereka yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya, dicabar untuk berhijrah ke negara lain. Usah kita mengharapkan pengiktirafan Najib Razak terhadap sumbangan pemimpin dan penyokong Pakatan yang turut menyuburkan demokrasi Malaysia, kita hanya mendoakan agar tiada lagi fitnah yang dipanah kepada pemimpin Pakatan, dan tidak lagi pemimpin Pakatan disumbatkan ke dalam lokap. Hakikat di sebaliknya. Pemimpin Pakatan dan aktivis reformis terus ditangkap dan ditahan. Tindakan ini bukan sahaja dilihat sebagai provokasi, malah memperlihatkan bahawa pemimpin BN tidak berhasrat merangkumi "pembangkang" ke dalam keluarga Malaysia. Dengan kuasa yang ada (walaupun dirompak melalui sistem pilihan raya yang tidak adil), mereka seharusnya menampilkan kesediaan untuk berkongsi kuasa - sekurang-kurangnya Speaker Dewan Rakyat haruslah disandang calon yang dicadangkan Pakatan. Ia akan memperlihatkan keikhlasan BN untuk merendah diri dan tunduk kepada suara 51% pengundi Malaysia. Di sini kita diperlihatkan "nilai" yang ada pada pemimpin BN. Keangkuhan kuasa yang bersifat eksklusif, mengasingkan mereka yang berbeza pandangan dengan diri. Untuk BN dahulunya, demokrasi hanya bermakna minoriti akur kepada majoriti. Untuk BN kini, demokrasi boleh jadi minoriti 47% merompak kemenangan majoriti 51%. Namun untuk BN selama-lamanya, suara rakyat tidak akan didengar dan dihormati. Untuk itu, BN memerlukan lebih pengajaran daripada rakyat untuk mengasuh agar mereka tunduk kepada suara rakyat. PRK Kuala Besut adalah peluangnya. |
Selasa, 23 Julai 2013
Pilihan Raya Kecil PRK peluang rakyat asuh BN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan