Selasa, 23 Julai 2013

Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, undi Che Long demi Islam!



 Oleh Mohammad Faizal Che Yusof

Pertembungan antara dua parti Melayu dan orang Islam iaini Umno dan PAS bukanlah satu hal yang remeh. Pertembungan antara keduanya bukanlah sekadar perbezaan pendekatan dalam memperjuangkan Islam. Perjuangan Umno yang berteraskan kebangsaan dan perjuangan PAS yang berteraskan Islam cukup untuk menjarakkan kedua-duanya bagai langit dan bumi.

Jangan kita ambil mudah dengan mengatakan Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Jika kita meletakkan hal dasar atau disebut Groom Norms oleh ahli juris perundangan moden, PAS telah menjadikan Islam sebagai asas kepada perjuangannya sedang Umno meletakkan bangsa sebagai asas.

Bagi PAS, bangsa Melayu akan selamat dan sejahtera apabila Islam itu diutamakan dan itulah yang tiada dalam perjuangan Umno.
 

Isu yang ingin saya nukilkan tidak lain tidak bukan ialah persoalan menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang mengamalkan Islam. Apakah Umno selama ini mampu meletakkan negara atau lebih khususnya negeri Terengganu sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan nilai-nilai Islam?

Dengan mengetahui pentafsiran dan penegasan yang dibuat oleh badan yang berbidangkuasa dan berkelayakkan, cukup untuk menjadi jawapan kepada persoalan sama ada pimpinan kerajaan telah lari atau bercakap benar.

Allah telah mentakdirkan selari dengan firmannya bahawa kebenaran dan kebatilan itu tidak mungkin bercampur. Kedua-duanya telah jelas untuk kita memilihnya. Begitu jugalah dalam mencari jawapan kepada isu yang dikemukakan ini.

Dalam satu kes Mahkamah Persekutuan (sebelum 1995 Mahkamah Agong), LINA JOY lwn MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN LAIN-LAIN [2007] 4 MLJ 585, Mahkamah Persekutuan yang dipaneli oleh AHMAD FAIRUZ KETUA HAKIM NEGARA, RICHARD MALANJUM HB (SABAH & SARAWAK) DAN ALAUDDIN HMP, telah menyentuh satu kes berkaitan pentafsiran Islam dalam perlembagaan Persekutuan iaitu CHE OMAR BIN CHE SOH v. Pendakwa Raya, [1988] 2 MLJ 55.

Dalam sidang lima orang hakim Mahkamah Agong pada ketika itu, Ketua Hakim SALLEH ABAS, WAN SULEIMAN, SEAH, HASHIM YEOP A SANI & SYED AGIL BARAKBAH telah membuat satu keputusan berkaitan kedudukan Islam dalam undang-undang Negara.

Mahkamah Agong telah menjelaskan persoalan sama ada Islam dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bersifat kerohanian dan keagamaan sahaja atau bersifat menyeluruh sebagaimana Islam itu sendiri?

Telah diperakui oleh mahkamah sememangnya Islam adalah satu cara hidup yang mana ajarannya merangkumi setiap aspek kehidupan. Islam bukanlah suatu dogma agama semata-mata yang hanya terhad kepada perkara-perkara ibadat dan kerohanian.

Kesimpulan dari hujah dan sejarah yang disingkap, Mahkamah Agong telah memutuskan Islam dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah Islam sebagaimana yang difahami. Islam dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah menjadikan hukum Islam yang bersifat menyeluruh itu terpakai dalam Negara ini. Bahkan Malaysia hingga ke hari ini adalah kekal dengan status Negara Sekular iaitu negara yang bukan berteras kepada agama.

Salleh Abas yang pada ketika itu Ketua Hakim Negara telah menegaskan bahawa sentimen peribadinya yang bersetuju dengan hujah pembelaan tidak boleh mengubah hakikat status undang-undang sekular negara hari ini. Berdasarkan apa yang diungkapkan oleh Mahkamah Agong, kini terpulang kepada dewan perundangan dan ahli politiklah yang bertanggungjawab sepenuhnya jika status undang-undang sedia ada ingin diubah.

Nah, pengundi Kuala Besut kini sekali lagi dipertanggungjawab memilih dan melantik ahli-ahli politik yang menduduki dewan perundangan. Biarpun PRK Kuala Besut hanya di peringkat negeri, kemenangan PAS tentunya akan menyuntik kekuatan tersendiri buat PAS bagi mengutarakan dasar-dasar Islam untuk diterima oleh seluruh masyarakat pada masa hadapan.

Haruslah diinsafi tanpa berbuat sesuatu yang terbaik, kitalah yang bertanggungjawab terhadap sekularnya negara pada hari ini. Kitalah yang bertanggungjawab menjadikan Islam sekadar agama pinggiran di sisi undang-undang hari ini.

Saya akui tanggungjawab yang dipikul oleh PAS bukannya kecil. Namun kita berpegang kepada janji Allah kepada hambanya bahawa Dia akan menolong hambanya yang menolong menegakkan agamanya. Maka tiada alasan lain selain seluruh umat Islam di Kuala Besut berfikir dan berikhtiar untuk meletakkan Islam pada tempatnya dengan memberi undi solid kepada Che Long.

Tiada ulasan: