Sabtu, 27 Julai 2013

Pilihan Raya Kecil: Hanya 158 undi untuk RM476 juta?




Oleh: Mat Zain Mat Isa
 
BAGAI diduga sedari awal, Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu. Dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pada Rabu (24 Julai), calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menewaskan calon PAS Haji Azlan @ Endut Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi.

 Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi berbanding Azlan, yang lebih popular dengan panggilan Che Long, mendapat 5,696 undi. Kedua-dua jumlah undi itu bagaimana pun menyaksikan penurunan berbanding undi diperolehi setiap parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
 
Jumlah undi diraih calon BN, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar pada Mei lalu ialah 8,809. Ia merosot 521 undi dalam PRK ini. Begitu juga di pihak PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding 6,375 undi dikutip Puan Napisah Ismail dalam PRU-13 lalu.
 
Kemerosotan ini dipercayai ekoran peratus keluar mengundi yang lebih rendah kali ini. Dilaporkan hanya 14,108 atau 79.78 peratus daripada 17,683 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Ia merosot agak banyak berbanding 86.70 peratus atau 15,328 daripada 17,679 pemilih berdaftar pada PRU lebih dua bulan lalu.
 
Hal itu bagaikan sudah dijangka. Pelbagai pihak sebelum ini, terutamanya para pemimpin dan pendukung pembangkang, telah meluahkan rasa terkilan di atas pemilihan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ia seakan disengajakan bagi menyulitkan pengundi, terutama yang berada di perantauan untuk pulang mengundi.
 
Pertama, ia terlalu hampir dengan tarikh hari raya (dua minggu). Hal ini menyebabkan pengundi yang tinggal jauh dari Kuala Besut, terutama yang kurang berkemampuan, terpaksa memilih antara pulang untuk pilihan raya atau menunggu balik untuk hari raya. Kelihatannya, mereka lebih memilih untuk pulang berhari raya sahaja.
 
Kedua, hari pengundian jatuh pada Rabu. Ia adalah hari bekerja, sama ada untuk penjawat awam, swasta, pekerja sendiri mahu pun yang menjadi nelayan setempat. Agak sukar bagi mereka mengambil cuti memandangkan Rabu berada di tengah-tengah minggu, bukannya di awal atau hujung minggu. Maka tidak mustahil ramai antara mereka memilih untuk meneruskan jadual kerja dan mengabaikan tanggungjawab mengundi.
 
Ketiga dan paling membebankan ialah apabila tarikh itu (24 haribulan) para pengundi dari kalangan penjawat awam belum mendapat gaji bulanan mereka. Jika pun ada jabatan/majikan membayar gaji pekerja pada tarikh berkenaan, bagi mereka yang berada di perantauan, perjalanan pulang sudah pun dibuat sehari sebelumnya. Maka bagi yang terpaksa menunggu kemasukan gaji bulan ini, mereka kemungkinan terpaksa melupakan saja hasrat pulang mengundi.
 
Selain itu, ada juga persepsi di kalangan pengundi bahawa kepulangan mereka sukar mengubah keadaan. Majoriti lebih 2,400 undi pada PRU lalu agak selesa buat BN mengekalkan kemenangan.
 
Persepsi ini wujud di kalangan kedua-dua pihak. Pengundi yang sayangkan BN berasa yakin dengan keadaan itu. Manakala pengundi PAS tidak meletakkan harapan tinggi parti mereka mampu mengatasi BN, lebih-lebih lagi dalam sebuah pilihan raya kecil yang sedia dimaklumi dihujani segala macam taktik dan strategi kotor pihak lawan. Lalu mereka merasakan jikalau keluar atau tidak keluar mengundi kali ini pun, tidak akan mengubah keadaan.
 
Kesemua pertimbangan itu dipercayai menjadi penyebab utama 1,220 pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi dalam PRK ini.
 
Sepertimana lazimnya, setiap kemenangan BN akan dijadikan bukti sokongan dan keyakinan rakyat yang masih kekal kepada parti itu. Para pemimpin BN berlumba-lumba membuat kenyataan kononnya kemenangan ini bukti Umno tetap di hati penduduk Kuala Besut. Kononnya juga calon dikemukakan BN diterima baik oleh rakyat.
 
Malah Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah PRK nyata tersasul apabila mendakwa kononnya undi diperolehi calonnya kali ini meningkat berbanding PRU-13 lalu. Kenyataan itu sangat tidak cermat dan menyalahi fakta yang diperakui semua pihak.
 
Sepertimana disebutkan di atas, dan disahkan keputusan rasmi oleh SPR, undi dikutip kedua-dua parti menunjukkan kemerosotan. Maka, tidak sepatutnya ada pihak termasuk BN mendakwa ia telah berjaya menambah undi atau meningkatkan sokongan.
 
Satu-satunya perangkaan yang menampakkan peningkatan di pihak BN ialah jumlah undi majoriti. Ia meningkat sebanyak 158 undi sahaja berbanding 2,434 pada PRU lalu. Namun itu pun bukan kerana jumlah undi dipungut parti itu bertambah. Ia hanya kerana jumlah kemerosotan undi di pihak PAS lebih besar berbanding penurunan undi BN. Itu saja, dan ia bukanlah pencapaian membanggakan buat BN!
 
Apatah lagi agak jelas daripada hakikat itu betapa dengan segala kerahan tenaga, kewangan dan taburan segala macam janji, bantuan segera, projek segera dan sebagainya, BN hanya mampu meningkatkan majorit 158 undi. Sedangkan jumlah dicongak pada janji projek-projek bakal dilaksanakan di Kuala Besut melangkaui RM476 juta.
 
Ishhh... hanya 158 undi untuk RM476 juta? BN patut malu nak berbangga dengan kemenangan ini!

Tiada ulasan: