NGO buat laporan polis, dakwa AG tidak adil
Presiden Power S.Gobi Krishnan (tengah) bersama-sama Setiausaha Mipas, S.Barathidasan (kanan) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas peguam negara. - Foto Sinar Harian oleh MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
 
KUALA LUMPUR - Lima NGO hari ini membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana didakwa menyalahguna kuasa dan mengamalkan pendakwaan terpilih.

NGO terbabit,  Jingga 13, Malaysian Indian Progressive Association, Pertubuhan Kebajikan dan Hak Rakyat, Tamillar Action Force dan Warga Aman  mendakwa, Gani sepatutnya mengambil tindakan perundangan ke atas Zulkifli Noordin, Ridhuan Tee Abdullah dan  Ibrahim Ali yang didakwa menghina agama Hindu dan Kristian.

Laporan dibuat di balai polis Travers tengah hari tadi.

Menurut Presiden Power S.Gobi Krishnan, lebih 100 laporan polis telah dibuat diseluruh negara terhadap Zulkifli dan Ridhuan Tee yang menghina agama Hindu, namun pihaknya mendapat maklum balas daripada polis bahawa pihak peguam negara telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan.

"Kami kecewa, alasan mereka kerana ketiadaan bukti, jadi mereka tidak dapat mengambil tindakan.

"Adakah bukti video YouTube Zulkifli Noordin tidak boleh dijadikan bukti," katanya kepada pemberita.

Perkara ini katanya membuktikan bahawa peguam negara mengamalkan pendakwaan terpilih walaupun video-video membabitkan perlakukan seperti didakwa tersebar luas di internet.

"Kenapa tidak boleh diambil tindakan, sedangkan bukti di Youtube telah tersebar luas," katanya.

Terbaru, polis setelah membuka siasatan ke atas pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook mereka, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24.

Kedua-duanya dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan.

Gani sebelum ini turut dipetik berkata, pasangan ini mungkin disiasat mengikut Akta Hasutan ekoran tindakan menyiarkan gambar di Facebook yang mengundang kemarahan orang Islam.

"Ya, (boleh disiasat mengikut) Akta Hasutan. Pertimbangan harus dan akan dibuat," kata Abdul Gani kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, tuduhan mengikut Akta Hasutan itu boleh dikenakan ke atas pasangan tersebut, selain dakwaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia yang membawa hukuman lebih rendah.