Ahad, 21 Julai 2013

Naib Presiden MCA akui sukar bergabung dengan parti berbilang kaum

Oleh Muzliza Mustafa

Sekalipun setia bersama BN tapi generasi lama belum tentu setuju idea penggabungan parti 

Sekalipun setia bersama BN tapi generasi lama belum tentu setuju idea penggabungan parti
Idea penggabungan dengan parti komponen berbilang kaum sukar buat MCA, kata Naib Presidennya, Gan Ping Sieu.

Beliau berkata, MCA juga tidak akan mengarahkan Gerakan dan SUPP supaya menggugurkan anggota bukan Cina mereka.

 "Kita tidak boleh gesa Gerakan dan SUPP melupakan anggota mereka supaya MCA akan melakukan perubahan dalam parti," katanya ketika ditemui di Kuala Besut, hari ini.

Gan berkata, anggota senior dalam parti mungkin menolak idea berkenaan tetapi anggota yang lebih muda mungkin menerima pelaksanaan berkenaan.

"Mereka (generasi muda) percaya kita perlu berubah daripada parti berasaskan perkauman kepada parti yang lebih terbuka menerima ahli daripada pelbagai kaum," katanya.

Walaupun MCA mempunyai keahlian sehingga 1 juta, beliau berkata, parti itu tidak lagi boleh berbangga dengan jumlah berkenaan.

"Jumlah bukan aset lagi kepada parti kerana hanya sebahagian daripada mereka, pejuang," kata Gan yang sedia menerima idea penggabungan itu.

MCA ialah parti berasaskan kaum Cina semata-mata tetapi Gerakan dan SUPP mempunyai ahli secara minoriti dari etnik lain.

Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn hari ini mengakui wujud cadangan supaya Gerakan, MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bergabung sebagai sebuah parti berasaskan kepentingan kaum Cina.

Beliau berkata, ketiga-tiga parti itu kekal bersama BN dan perbincangan mengenai hal itu dijangka dibuat Oktober ini selepas proses pemilihan parti, selesai

Tiada ulasan: