Sabtu, 27 Julai 2013

Malaysia negara pembunuh anak ‘OKU Terlantar’?

Oleh: RONASINA

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008- ‘Orang Kurang Upaya’ diklasifikasikan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Kategori OKU

Menurut perangkaan Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih  sepuluh peratus penduduk di dalam sesebuah negara adalah Orang Kelainan Upaya (OKU). OKU pula terbahagi kepada tujuh kategori mana di dalam tujuh kategori tersebut terpecah pula kepada beberapa bahagian.

Di antaranya kategori cacat anggota tetapi boleh berfikir dan mengurus diri, cacat anggota tetapi tidak boleh mengurus diri, cacat akal tetapi masih boleh menguruskan diri dan ada juga cacat akal serta tidak mampu menguruskan diri serta lain-lain lagi kategori.

Bandar Shah Alam-20121216-00296

Di Malaysia menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir tiga juta orang didaftarkan sebagai OKU. Di antara kategori ini terdapat apa yang dipanggil ‘OKU Terlantar’ yang mana anak ini dilahirkan terlantar, terencat perkembangan dan pembesaran malah tidak mampu menguruskan diri.

Ibu bapa atau penjaga anak OKU kategori ini jika berdaftar akan mendapat elaun sebanyak RM300 setiap bulan. Manakala yang tidak berdaftar disebabkan berbagai-bagai kesulitan juga ramai seperti tiada bapa sama ada sudah meninggal dunia atau lari, tiada kenderaan dan lain-lain.

Apakah elaun yang diberikan ini telah dapat menyelesaikan masalah kebajikan anak-anak ini? Apakah bantuan wang ini telah ‘menutup buku’ permasalahan yang membelenggu? Tahukah kita setiap tahun berapa ramai anak OKU Terlantar lahir?

Di Australia kajian menunjukkan setiap seribu kelahiran akan ada dua kanak-kanak mengalami Cerebral Palsy (Lumpuh Otak). Berapa ramai pula anak OKU Terlantar mati saban tahun? Mengapa mereka mati? Kebanyakan mereka mati kerana potensi diri semakin lama semakin merosot.

Tahap kesihatan mereka merudum bermula dengan kerosakan anggota seperti kekejangan sendi, tulang belakang membengkok (scoliosis), gangguan saraf sehingga kerap diserang sawan berbahaya dan juga jangkitan kuman terhadap paru-paru dan otak yang langsung membawa maut.

Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini kerana, di Malaysia tidak diperuntukkan sekolah khas bantuan penuh kerajaan untuk anak-anak kategori OKU Terlantar ini. Anak-anak ini dinafikan hak untuk bersekolah.

Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan

Tahukah anda bahawa setiap kanak-kanak di dunia berhak mendapat pendidikan mengikut keupayaan potensi mereka? Inilah dasar ‘No Child Left Behind’ (Tiada kanak-kanak keciciran) yang diamalkan di negara-negara maju di mana setiap kanak-kanak tidak kira warna kulit atau bagaimana keadaan mereka sama ada normal atau mengalami kecacatan wajib dibenarkan mendapat pendidikan.

Di negara Scandinavia atau di Lingkaran Artik (Sweden, Norway, Denmark dan Finland) contohnya, mereka menyediakan sekolah khas harian percuma untuk anak-anak OKU Terlantar. Lengkap dengan sukatan pelajaran dan kaedah yang sistematik beserta tenaga pengajar dan pembantu yang cukup terlatih.
Bayangkan anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri ini dijemput dengan kenderaan, diberikan tumpuan penuh oleh guru dan pembantu di mana nisbahnya setiap seorang anak OKU diberikan seorang guru dan seorang pembantu. Pulang ke rumah dihantar. Ibu bapa jika pun tidak diberi elaun masih boleh bekerja seperti ibu bapa yang lain.

Di Malaysia, ibu bapa terpaksa bersaing dengan orang lain demi meneruskan hidup. Anak tidak layak masuk ke sekolah. Rawatan fisioterapi dan latihan cara kerja (Occupational Therapy) dibuat di hospital seminggu sekali selama sejam. Bolehkah anak ini mempelajari semua itu semua dalam waktu sesingkat itu?

Bayangkan, bolehkah anak normal menguasai kemahiran membaca jika hanya datang sekolah sekali seminggu selama satu jam? Apatah lagi anak OKU Terlantar ini. Mereka perlukan sekolah harian untuk pemulihan. Lagi pun anak ini bukan sakit, maka kelas pemulihan mereka bukan di hospital tetapi di sekolah. Kaedah latihan yang diberikan pula sama semuanya walhal anak-anak ini berbeza keupayaannya berbanding anak-anak yang lain.

Disebabkan tidak ada pendidikan khas untuk anak-anak jenis inilah maka hari demi hari kualiti kesihatan mereka merosot, potensi mereka dibunuh sehingga anak-anak ini menemui ajal dalam keadaan yang amat menyedihkan. Mengapa kerajaan boleh menanggung perbelanjaan yang besar terhadap penagih dadah di Pusat Serenti? Mengapa pula kerajaan sanggup berhabis di pusat pemulihan akhlak untuk kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah juvana? Jadi, bagaimana pula dengan sekolah untuk anak-anak OKU Terlantar?

Selamatkan Segera anak-anak OKU Terlantar

Anak-anak OKU Terlantar tidak melakukan apa-apa dosa, jauh sekali menyakiti orang lain. Ketidaksempurnaan ini bukan sesuatu yang dirancang oleh mereka. Mereka sendiri tidak pernah meminta diri mereka dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan ini. Jadi, apakah jalan bagi orang yang sempurna untuk membela nasib OKU Terlantar ini?

Dalam keadaan pemerintah hari ini yang melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ serta isteri Perdana Menteri yang menjaga badan NGO Permata yang kononnya menumpukan kepada anak-anak OKU; mereka tidak sedar ada segolongan rakyat yang tertindas dan tidak diberikan hak untuk menikmati pendidikan. Retorik dan slogan hampas Kerajaan Prihatin, Masyarakat Penyayang dan lain-lain lagi yang amat memualkan ini sebenarnya bak peluru yang setiap hari menembusi kepala  anak-anak OKU Terlantar ini.

Kekejaman bukan setakat melihat Aminul Rashid yang ditembak polis atau Kugen mahupun Teoh Beng Hock, tetapi kezaliman yang dilakukan terhadap anak-anak OKU Terlantar ini dengan menafikan hak mereka mendapat pendidikan adalah lebih besar kerana kematian mereka tiada siapa pun yang peduli.

Ketepikan perbezaan fahaman politik dan hentikan retorik busuk serta politik fitnah yang kotor.
Anak-anak OKU Terlantar di dalam kecemasan dan sangat memerlukan pembelaan segera. Mahukah kita melihat Malaysia menjadi sebuah negara pembunuh nombor satu bagi kanak-kanak OKU Terlantar?

Justeru, pihak berwajib terutama mereka yang terlibat secara langsung mestilah mengambil langkah yang lebih proaktif dan bersungguh-sungguh agar masalah dan penderitaan kanak-kanak OKU Terlantar ini akan terbela. Semoga hak mereka untuk mendapat pendidikan berkualiti dapat direalisasikan. Janganlah kita sebagai masyarakat yang sempurna mengabaikan mereka.

* Dalam keadaan pemerintah hari ini yang melaungkan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ serta isteri Perdana Menteri yang menjaga badan NGO Permata yang kononnya menumpukan kepada anak-anak OKU; mereka tidak sedar ada segolongan rakyat yang tertindas dan tidak diberikan hak untuk menikmati pendidikan.

(*) RONASINA atau nama sebenarnya Mohd Affandi Ramli adalah seorang kartunis politik dan aktivis. Memiliki dua puteri istimewa, salah seorangnya meninggal dunia pada  2012. Beliau lantang memperjuangkan hak dan nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tiada ulasan: