Madinah
Madinah 
 
MADINAH - Kerajaan Arab Saudi akan membangunkan Madinah seperti apa yang dilakukan di Makkah pada masa ini bagi memberikan khidmat terbaik kepada umat Islam di seluruh dunia yang datang ke dua tanah suci itu bagi menunaikan haji, umrah dan ziarah.
  
Proses menaik taraf besar-besaran bandar Madinah terutama Masjid Nabawi akan bermula sebaik sahaja selepas musim haji tahun ini.
  
Timbalan Pengurus Besar (Madinah) Kementerian Haji Mohammad Al-Arabi berkata berikutan usaha pembangunan tiga tahun bermula di Makkah selepas musim haji tahun lalu, proses menaik taraf yang sama akan dijalankan di Madinah.   

" Seperti yang anda semua tahu ada projek hebat di Makkah, pembesaran Masjidil Haram, kini tiba masa bagi Madinah (Masjid Nabawi). Projek pembesaran itu sudahpun diluluskan Raja Abdullah.
  
Melalui projek pembesaran itu, Masjid Nabawi akan dapat menampung 1.6 juta jemaah berbanding 800,000 orang sebelum ini.
  
" Ia berterusan secara selari. Ia merupakan pembesaran sepenuhnya. Proses awal sebenarnya telah bermula. Ia akan diteruskan tanpa mengganggu mereka yang tinggal di Madinah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
 
Sebelum itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.
  
Makkah kini dibangunkan secara besar-besaran. Ini membabitkan pembesaran Masjidil Haram termasuk meruntuhkan sebahagian masjid itu bagi memperbesar ruang solat.
  
'Mataf', satu kawasan sekitar Kaabah, juga akan diperluaskan bagi membolehkan bilangan jemaah melakukan tawaf sekeliling Kaabah ditingkatkan kepada 130,000 berbanding 48,000 sebelum ini.
  
Berikutan kerja menaik taraf kemudahan haji di Makkah, Arab Saudi terpaksa mengurangkan bilangan jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini sebanyak 20 peratus dan 50 peratus jemaahnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji.
  
Sementara itu, Al-Arabi berkata Kementerian Haji mendapatkan pandangan dari jemaah haji sebelum ini dan akan berusaha meningkatkan khidmatnya bagi musim haji tahun ini.
  
" Tahun ini kami beri perhatian terutamanya bagaimana kita mahu jemaah haji benar-benar berpuas hati. Kami mahu berada lebih dekat dengan jemaah..terutamanya mengenai hal ehwal haji. Kami akan memberi perhatian kepada mereka sebagai pelanggan kami.
  
" Kami benar-benar mahu perjalanan mereka selamat. Kami juga tidak mahu mereka menghabiskan masa berkenaan prosedur terutama di lapangan terbang dan kaunter pertanyaan. Kami mahu mereka terus sahaja ke tempat penginapan mereka.Kami hanya mahu mereka berasa begitu dekat dengan Allah. Jemaah yang datang dari seluruh dunia hanya mahu mencapai matlamat ini," katanya.
  
Katanya sebagai sebahagian daripada proses meningkatkan perkhidmatan, mereka mahu berada dekat dengan jemaah haji dan juga ingin tahu kesan dan nilai perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah selain mendengar pandangan jemaah haji.
  
Mengenai kerjasama di antara kementerian dan Tabung Haji, Al-Arabi berkata beliau benar-benar bangga dengan kerjasama antara kedua pihak itu yang telah dapat membantu ramai rakyat malaysia menunaikan ibadah haji.
  
" Kami dengar pandangan mereka (Tabung Haji) dan mereka mendengar pandangan kami," katanya. - Bernama