Oleh Aspan Alias
Isu yang berbangkit hasil dari pilihanraya lalu belum reda. Sekarang timbul isu dalaman UMNO yang akan memulakan ulang tahun berperang sesama sendiri semasa pemilihan parti November ini. Setiap parti mempunyai masalah masing-masing dan tidak ada mana-mana parti boleh mengata dan mengkritik parti-parti lain. Masing-masing parti ada hal yang membosankan.
UMNO sudah menampakkan masalah yang terlalu rumit jika dipandang dari
mana-mana sudut sekali pun. Ada yang memarahi saya kerana membuat komen
tentang UMNO kerana saya bukan lagi ahli UMNO. Tetapi bukankah UMNO itu
mengaku yang parti itu untuk semua kaum dan mempunyai slogan 1Malaysia
bersamanya?
Maka setiap rakyat ada hak untuk memberikan penilaian terhadap parti
itu mengikut tanggapan masing-masing. Perhimpunan Agung yang mendatang
sudah menampakkan keretakan dalam UMNO yang menunggu masa untuk
berpecah. Jika dahulu ahli-ahlinya mempunyai segan silu untuk mengkritik
pimpinan tetapi sekarang sudah ada unsur-unsur yang menunjukkan budaya
segan silu itu sudah mula hilang selepas pilihanraya yang lalu.
Wanita UMNO akan melihat pertandingan diantara Shahrizat Jalil yang
sentiasa menjadi orang kesayangan Presiden UMNO pada hari ini. Azalina
Othman Said akan menandingi beliau sebagai Ketua Pergerakan Wanita
UMNO. Azalina beranggapan yang Najib tidak memberi komitmen secukupnya
dalam pembangunan Wanita sebagai sebab beliau akan menandingi Shahrizat
yang telah terjurumus dalam isu National Feedlot Corporation (NFC).
Tetapi yang hendak melawan Shahrizat ini pun bukannya tidak ada isu dan
isu yang masih didalam ingatan ramai ialah isu Pembangunan Pusat Sukan
di Herdforshire England semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan
dahulu dan isu ini bukannya isu yang kecil. Tetapi apakan daya, seperti
yang selalu saya sebut sejak beberapa tahun dahulu UMNO sudah ketiadaan
pimpinan yang tidak mempunyai isu rasuah. Maka yang hendak membetulkan
keadaan pun tidak betul, apatah lagi pimpinan yang hendak dibetulkan
itu.
Mesti satu diantara kedua belah pihak itu akan memenangi pertandingan
itu, tetapi keadaan tidak juga akan berubah. Mahu tidak mahu terpaksa
jugalah UMNO menggunakan nama-nama yang sama tahap imej mereka untuk
mengganti pihak yang ada sekarang. Kata perpatah ‘tidak ada rotan akar
berguna juga’. Ada dikalangan wanita sendiri bercakap, ‘Azalina pun
Azalina lah, asalkan ada perubahan. Mana nak cari lagi pemimpin wanita
yang berwibawa?’
Ada diantara Wanita berkata kalau Azalina menjadi ketua mereka masalah
besar tetap ada, tetapi setidak-tidaknya masalah yang akan datang itu
masalah baru. Kalau Sharizat masih Ketua kami, balik-balik masalah lama
juga. "Shahrizat tu berselindung dicelah ketiak Najib aje” kata mereka.
Tetapi apa lebih penting yang perlu kita pandang sekarang ini ialah,
kemasukan Azalina dalam kancah Wanita kali ini merupakan pertandingan
‘proxy’ diantara kedua pihak yang sedang ‘bergebang’ dalam UMNO sekarang
ini. Keadaan ini memang telah dijangka dan ‘predictable’. Penonjolan
Ahli Parlimen Penggerang ini untuk mengetuai Wanita itu adalah jelas
membayangkan yang ia merupakan ‘undi tidak percaya’ kepada Najib oleh
setengah pihak dalam UMNO.
Penyertaan Azalina dalam pertandingan Ketua Wanita UMNO ini adalah
manifestasi ramai dikalangan Wanita dan ahli-ahli UMNO terhadap Najib.
Kalau dipandang dari budaya dalam UMNO jarang-jarang diantara pimpinan
dalam UMNO yang berani mengkritik Najib seperti yang dilakukan oleh
Azalina itu.
Sesungguhnya penampilan rasa tidak puas hati kepada pucuk pimpinan ini
amat jelas apbila telah dapat dikenalpasti ramai penggiat UMNO yang
telah berjalan keperosok negara berkempen secara senyap-senyap telah
begitu ramai berbincang tentang kemungkin Najib dicabar dalam pemilihan
UMNO kali ini.
Ramai dikalangan pimpinan atasan UMNO juga dilihat membuat persiapan
untuk menawarkan jawatan Timbalan Presiden. Tidak dapat dipastikan
samada ia adalah anjuran pihak yang mahukan Muhyidin untuk bertanding
Jawatan Presiden atau Muhyiddin sendiri akan ditandingi oleh salah
seorang Naib Presiden yang kini penuh pejabatnya dengan penyokong beliau
dari seluruh negara.
Unjuran agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak
dipertandingkan juga bertambah berkurangan. Setiausaha Agong parti itu
sendiri sudah berubah pendirian dari mempertahankan agar kedua-dua
jawatan itu tidak dipertandingkan kepada terbuka untuk rebutan sesiapa
dalam parti itu.
Dimana-mana kedengaran isu pertandingan dalam parti UMNO dibualkan.
Belum nampak dengan jelas apa yang akan berlaku kepada Pemuda UMNO,
samada Khairy Jamaludin akan mempertahankan jawatan beliau atau ada
pihak dan individu lain yang akan mencabar beliau dan bertanding bagi
jawatan itu kali ini.
Walau bagaimana pun jika jawatan Presiden dipertandingkan, maka semua
jawatan yang lain akan terbuka kepada pertandingan itu akan terjadi.
Dalam UMNO sudah menjadi isu biasa jika ada pertandingan akhirnya parti
itu akan berpecah, bukan kerana apa tetapi kerana yang dicabar tidak
dapat menerima hakikatnya beliau sememangnya perlu dicabar.
Tetapi pertandingan kali ini mempunyai perbezaaan yang besar dengan
pemilihan pada tahun 1987 dahulu kerana yang akan mencabar kepimpinan
yang menyandang itu juga bukannya mempunyai kebolehan yang lebih dari
yang dicabar. UMNO itu akan hanya menunggu waktu untuk berkecai setelah
pertandingan itu berlaku.
Jika pertandingan dalam UMNO itu benar-benar berlaku kita tidak dapat
menjangka sejauh mana UMNO akan binasa kerana pihak yang menandingi
pihak yang ditandingi itu adalah dari mentaliti dan kapasiti mental yang
sama sahaja. Ia ibarat tubuh yang sudah tidak mempunyai sel-sel hidup
yang baik lagi. Ia ibarat sel-sel berperangan dan membunuh diantara satu
dengan yang lain dan akhirnya mematikan tubuh yang sudah usang seperti
UMNO itu.
UMNO dan BN akan hanya mampu mengekang pembangkang jika pembangkang
masih dipimpin oleh pimpinan yang ada pada hari ini. Perlu diingat
parti-parti dipihak pembangkang juga bukan tidak mempunyai masalah,
malahan masalah yang dihinggapi oleh UMNO juga menjangkit kepada
parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Jika UMNO memakan masa enam dekad untuk jatuh, parti-parti pembangkang
akan menghadapi nasib kejatuhannya hanya dalam masa satu setengah dekad
sahaja jika mereka tidak memilih pimpinan yang baru dalam kadar yang
segera sekarang ini.
Jika ditanya apa yang akan berlaku pada politik tanah air selepas ini,
tidak ada jawapannya buat masa ini. Biarkan sahaja masa dan keadaan
sahaja yang menentukannya.
Kepada mereka yang mempunyai ketenangan jiwa, mereka akan hanya berdoa
agar akan datang kebaikan kepada kita yang belum dapat dijangka oleh
sesiapa. Hanya Tuhan sahaja yang mampu menentukannya.
Dalam keadaan sekarang ia adalah dalam keadaan apa yang kita selalu
dengar orang menyerah dengan ayat ‘laa hau la wala quwwata illa.....’
sahaja. Tiada lagi berdaya untuk sesiapa yang menyelesaikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan