Ahad, 28 Julai 2013

Kenapa Azlan Man tidak dilantik Pengerusi Perhubungan?

 
Kenapa tidak ada keseragaman? Kalau semua Menteri Besar dilantik pengerusi perhubungan, maka Menteri Besar Perlis, Azlan Man patut dilantik juga. Soal dia orang baru tak timbul kerana Mukhriz pun orang baru.



PETALING JAYA: Bapa transformasi, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semalam bahawa pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober ini.

Katanya, pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 September ini.

Beliau yang juga Presiden Umno turut mengumumkan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 2 hingga 7 Disember ini.

Mereka yang berminat bertanding jawatan MT, bahagian dan sayap pergerakan parti boleh mendaftar sebagai calon di badan Perhubungan Umno Negeri pada 7 September ini.

Lebih 150,000 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pemimpinan parti tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan baharu parti itu.

Najib berharap dengan pemilihan berdasarkan perlembagaan baru itu, ahli Umno akan memilih pemimpin yang boleh meletakkan parti itu pada asas yang lebih kukuh.

Inilah kali pertama 150,000 ahli Umno dari seluruh negara dapat memilih barisan pemimpin Umno bagi penggal 2013-2016 hasil dari transformasi yang dilakukan oleh Najib.

Yang kita persoal, cara mana perwakilan Bahagian nanti memilih barisan ahli majlis tertinggi? Adakah mengundi secara sulit atau mengundi secara angkat tangan? Kalau mengundi secara angkat tangan, nampaknya tak  guna ada transformasi kalau cara mengundi masih primitif.

Pada masa yang sama semalam Najib mengumumkan perlantikan mengumumkan pelantikan enam pengerusi Umno negeri yang baru yang telah diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu petang semalam.

Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (Kedah), Datuk Seri Noh Omar (Selangor), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Wilayah Persekutuan), Datuk Idris Haron (Melaka) dan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (Johor).

Pengerusi Umno negeri yang dikekalkan ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Kelantan), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Perak), Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Musa Aman (Sabah).

Najib yang bercakap kepada pemberita selepas itu juga mengumumkan nama timbalan pengerusi Umno seperti berikut:
  • Perlis – Azlan Man
  • Kedah – Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah
  • Kelantan – Datuk Awang Adek Hussin
  • Terengganu – Datuk Seri Idris Jusoh
  • Pulau Pinang – Datuk Seri Dr Hilmi Yahya
  • Perak – Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
  • Pahang – Datuk Mohd Shamsudin shakar
  • Selangor – Abdul Shukor Idrus
  • Wilayah Persekutuan – Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
  • Negeri Sembilan – Datuk Shaziman Mansor
  • Melaka – Datuk Wira Ahmad Hamzah
  • Johor – Datuk Seri Dr Ahmad Latif
  • Sabah – Datuk Seri Salleh Said Keruak
Kenapa tidak ada keseragaman dalam perlantikan pengerusi badan perhubungan Umno? Kalau semua menteri besar dilantik, maka Menteri Besar Perlis, Azlan Man patut dilantik juga sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Perlis.

Kenapa Najib lantik Shahidan? Adakah kerana Azlan Man orang baru? Soal baru jadi menteri Besar tidak timbul, kerana Mukhriz pun baru jadi Menteri Besar Kedah. Oleh itu Najib wajar mengkaji semula kedudukan Azlan Man.

Biasanya perlantikan pengerusi badan perhubungan baru diumumkan selepas pemilihan parti, tetapi Najib mengumumkannya sebelum pemilihan parti 5 Oktober ini? Mungkin inilah satu lagi transformasi Najib.

Tiada ulasan: