“JANGAN ulangi lagi perbuatan itu selepas ini,” demikian nasihat
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd
Amin kepada penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha
yang bertindak membuang pingat ke dalam tong sampah setelah pasukannya
tewas 0-1 kepada Kelantan, Sabtu lalu.
Sambil menganggap tindakan Norshahrul atau Mat Yo itu disebabkan hilang
pertimbangan kerana terlalu kecewa selepas pasukannya tewas, Hamidin
bagaimanapun berharap insiden itu adalah yang pertama dan terakhir
dilakukan oleh bekas pemain Kelantan itu.
“Mungkin dia (Mat Yo) tertekan dan terlalu kecewa dengan kekalahan itu dan disebabkan itu dia terbawa-bawa ke luar padang.
“Cuma nasihat saya, jangan ulangi lagi tindakan sebegitu kerana tidak
elok sebagai pemain berpengalaman, lagipun kita kena faham dan ingat
dalam bola sepak ada menang, ada kalah.
“Kita takkan selalu menang saja, pada masa yang sama kena terima kekalahan juga,” kata Hamidin.
Dalam laporan media tempatan semalam melaporkan, Mat Yo dikatakan
bertindak membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk
bilik persalinan selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Kelantan dalam
final Piala FA, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketika ditanya adakah Mat Yo bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh
FAM, Hamidin berkata, pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan
terhadap beliau memandangkan FAM tiada peruntukan undang-undang untuk
berbuat demikian.
“Kami tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap dia, ini kerana tiada peruntukan undang-undang berhubung tindakan itu.
“Cuma yang boleh saya katakan jangan buat lagi,” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan