Selasa, 9 Julai 2013

Guru penolong kanan maut ditembak di Bachok

THE MALAYSIAN INSIDER

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Bahru, berhampiran sekolah itu, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Hashim Mat Zain, 43, yang juga guru muzik sekolah berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera terkena tembakan di bahagian dada dan bahu kanan.

"Mangsa yang sedang memandu keretanya ditembak seorang suspek tidak dikenali sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan dan berhenti di hadapan sebuah rumah penduduk. Pemeriksaan awal forensik mendapati empat das tembakan dilepaskan suspek, tiga mengenai cermin depan dan satu das mengenai cermin pintu hadapan sebelah pemandu. Sebutir peluru dijumpai dalam kusyen pemandu," katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan awal mendapati selain bertugas sebagai guru, mangsa turut menjalankan pelbagai perniagaan dan dipercayai mempunyai masalah hutang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, untuk bedah siasat. - Bernama

Tiada ulasan: