Di waktu negara sedang menghadapi
ketandusan kepimpinan ini, banyak isu dan perkara yang tidak berpatutan timbul
hasil dari kekurangan kepimpinan itu. Segala cita-cita perjuangan negara bukan
sahaja terbantut malahan keadaan bertambah buruk dan menakutkan.
Semua bercakap isu yang mereka
tidak memahami dengan betul atau bercakap tanpa kejujuran. Isu penyatuan kaum
adalah isu besar yang di sebut oleh semua pihak baik dari pihak kerajaan mahu
pun dari pihak pembangkang, tetapi tidak ada satu pihak pun yang jujur tentang
perjuangan yang mereka laungkan.
Sekarang timbul isu besar lagi.
Isu hasil dari kelakuan nakal sepasang anak muda, Calvin Tan dan Vivian menjadi
isu dan semua pihak bercakap, tuduh menuduh diantara satu dengan lain sehingga
menjadi panas dan membosankan. Keadaan semakin merumitkan sampaikan tidak siapa
lagi yang boleh memberikan punca kenapa keadaan politik ini menjadi sebegini
rupa.
Saya percaya jika ada satu pihak
yang lebih betul dari pihak yang lain tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku.
Jika ada pihak yang betul tentulah ramai yang akan memihak kepada yang betul
kerana di situlah ‘sanctuary’ kepada rakyat yang sedang dalam pencarian. Isu
seperti ini bersabit dengan kepimpinan, samada pimpinan yang lemah atau pun
pimpinan yang tidak jujur atau oleh kerana kedua-duanya sekali.
Jika perkara tidak serius masakan
pasangan Calvin dan Vivian ini boleh melakukan perkara yang sejahat yang mereka
lakukan terhadap agama kita? Tetapi keburukan yang sangat jahat yang dilakukan
oleh pasangan muda ini tentulah bersebab. Mesti ada puncanya. Kenapa mereka
yang masih muda sudah pandai menyentuh dan menyakitkan kita dengan provokasi
yang mereka lakukan itu?
Puncanya itulah yang wajib kita
fahami dan diperbaiki. Kalau kita lihat dan pandang betul-betul, mereka yang
menjadikan isu ini lebih panas ialah nama-nama seperti Zulkifli Noordin, Bung
Mokhtar dan beberapa orang yang lain dalam mana nama-nama ini adalah nama-nama
yang tergulung kepada ‘tin-tin kosong’ yang tidak mampu memberikan tambah nilai
kepada politik negara kita.
Betul, mengambil tindakan
terhadap pasangan muda ini adalah amat wajib kerana tidak ada siapa yang
beragama akan merestui perlakuan mereka. Tetapi saya tidak salah jika saya
katakan yang keadaan ini berlanjutan kerana pihak yang mempunyai kuasa untuk
mengambil tindakan itu tidak bersikap adil. Kenyataan-kenyataan mereka-mereka
seperti Zulkifli Noordin, Ibrahim Ali dan ramai lagi yang bersifat provokatif
terhadap agama lain tidak pula diambil tindakan.
Selagi sikap berat sebelah pihak
penguasa dan mengambil tindakan secara ‘selective’ maka selagi itulah isu-isu
seperti ini akan berlaku tanpa henti. Sekarang budaya provokasi diantara agama
ini sudah berlarutan dan ini tidak akan selesai selagi tidak ada tanda-tanda
pihak berkuasa berkemampuan untuk bersikap adil dan saksama.
Seperti ibu-bapa yang mempunyai
sikap ‘limau masam sebelah’ terhadap anak-anak, kerukunan keluarga itu tidak
akan tercapai. Tidak akan aman keluarga yang kita pimpin jika kita sendiri
mempunyai sifat ‘limau masam sebelah’ itu. Anak-anak tidak akan berasa aman dan
tidak akan menghormati diantara satu dengan lain dalam keluarga itu.
Sebagai penguasa kepada keluarga
kita mesti mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika marah tidak boleh ditunjukkan
marah kita secara berlebihan. Bak kata orang tua-tua, ‘jika harimau yang ada di
dalam diri kita, kita keluarkan kambing’. Kita mesti mampu untuk menyejukan
keadaan.
Tetapi dalam isu Calvin dan
pasangannya ini, semua pihak telah memanaskan keadaan sehinggakan orang
yang
bergelar Ahli Legislatif seperti Bung Mokhtar bercakap lebih cepat dari
berfikir. Beliau telah menuduh seorang Ahli Parlimen yang lain
bertanggungjawab
diatas perlakuan Calvin dan pasangannya itu. Ini adalah satu tindakan
yang amat memalukan bukan sahaja kepada kita yang mendengarnya tetapi
sepatutnya ia
juga akan memalukan dirinya sendiri.
Bagi saya ‘by all means’ pasangan
Calvin dan Vivian ini mesti di ambil tindakan. Tetapi kita juga ingin melihat
Zulkifli Noordin juga diambil tindakan yang sama kerana beliau telah melakukan
kerja yang lebih buruk dari pasangan muda ini dalam isu provokasi agama ini.
Tetapi Zulkifli Noordin tidak
diambil tindakan malahan diberikan pula penghormatan parti untuk menjadi calon
bagi parti pemerintah dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan memberikan
kestimewaan terhadap Zulkifli ini merupakan satu tindakan yang ‘beyond comprehension’
bagi mereka yang mempunyai pemikiran walaupun serendah mana pun pemikiran
mereka..
Tidak ada pihak yang befikir dan
bertindak secara jujur. Jika ada pihak yang jujur dan meyakinkan, keadaan
seperti ini tidak akan terjadi. Sebelum pilihanraya baru-baru ini ada pihak
yang telah memanaskan isu kalimah Allah yang begitu sensitif walaupun
pilihanraya sudah hampir tiba. Entah kenapa isu itu ditimbulkan dalam ucapan
resmi dan ini menjadikan isu keagamaan itu tidak mampu dikawal sehingga hari
ini.
Pendeknya tidak ada pihak yang
boleh diharapkan untuk menjadi penyelesaian terhadap isu perpecahan diantara
kaum dan agama ini. Semuanya bermain politik kepartian yang tidak ada tolok
bandingnya. Masing-masing hanya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasilkan
keuntungan bagi parti dan kehendak peribadi masing-masing.
Setakat ini tidak ada satu pihak
pun yang berkemampuan untuk menjadi sandaran dan harapan untuk melakukan
penambah-baikan terhadap isu sensitif agama dan perkauman ini.
Masing-masing mendapat kejayaan
diatas keperitan orang lain dan ini tidak akan kekal lama. Kebenaran akan
timbul juga akhirnya secara ‘natural’. Sikap bohong itu adalah sifat mustahil bagi Tuhan yang Maha Adil dan Saksama itu. Kita tunggu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan