Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
 
Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
 
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin PKR menyatakan pendirian akan tetap mengangkat sumpah ahli Parlimen walaupun parti tersebut sebelum ini dilaporkan mahu memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat penggal ke-13 pada 24 Jun ini.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan tetap mengangkat sumpah dan tidak akan memboikot majlis angkat sumpah ahli Dewan Rakyat tersebut.

“Kami akan mengangkat sumpah, kerana jika tidak berbuat demikian kami tidak boleh berbahas. Biro Politik akan membuat keputusan mengenai bilakah tarikh angkat sumpah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa mana-mana ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat 24 Jun ini tanpa alasan munasabah dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu boleh dilucut atau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan.

Beliau berkata, tindakan tidak hadir dalam majlis angkat sumpah dengan sengaja itu sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, Parlimen dan semua institusi berkenaan. Parlimen juga akan menentukan tindakan lain bersabit kesalahan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, setakat ini, beliau masih berpendirian akan mengangkat sumpah selaku ahli Dewan Rakyat.

“Sama ada angkat sumpah 24 Jun atau selepas itu masih belum ditentukan. Kami merujuk perintah tetap yang membolehkan angkat sumpah dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sebelum ini, pada Majlis Taklimat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat ke-13 yang diadakan kelmarin, hanya seorang ahli Parlimen pembangkang yang hadir, iaitu Ahli Parlimen Bakri dari DAP, Er Teck Hwa.