Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat
dan Muhammad Hilmi Hasim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di
sini terhadap pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim
Al-Qaeda Malaysia.
Yazid, 49, pengusaha kafetaria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan
Muhammad Hilmi, 33, pembantu kafetaria, kelihatan tenang ketika
pertuduhan baharu itu dibacakan dan mereka minta dibicarakan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor DL
11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012
dan 7 Feb lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang
membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika
sabit kesalahan.
Hakim Kamardin Hashim membenarkan permohonan peguam New Sin Yew, yang
mewakili kedua-dua tertuduh, untuk menangguhkan kes itu sementara
menanti rayuan mereka berhubung tuduhan terlibat dalam aktiviti
menggalakkan keganasan di Syria didengar di Mahkamah Persekutuan.
New berkata pihaknya telah memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon
kedua-dua tertuduh ditahan reman di penjara Sungai Buloh sementara
menanti keputusan rayuan.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan Hakim Datuk Mohd Azman
Husin menetapkan 17 Sept depan untuk sebutan bagi kes yang dihadapi
kedua-dua tertuduh berhubung pertuduhan terlibat dalam aktiviti
menggalakkan keganasan di Syria.
Selasa lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pendakwaan untuk
ketepikan pembebasan Yazid dan Muhammad Hilmi daripada pertuduhan
berkenaan.
Ia berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai
Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan permohonan pendakwaan
untuk mengetepikan pembebasan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan
itu.
Dalam keputusan itu, Abu Samah berkata pertuduhan terhadap responden
(Yazid dan Muhammad Hilmi) ialah dalam ruang lingkup atau skop Perkara
149 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan turut mengarahkan kes itu disebut di Mahkamah Tinggi pada hari ini.
Pada Februari lepas, Yazid didakwa memajukan ideologi bertujuan
menghasut orang ramai di Syria agar melakukan keganasan manakala
Muhammad Hilmi dan seorang lagi suri rumah Halimah Hussein didakwa
bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 1 Ogos dan 20 Okt tahun lepas.
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574)
manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun
sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika
sabit kesalahan.
Bagaimanapun pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepaskan dan
membebaskan mereka daripada pertuduhan itu selepas membenarkan
permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan berkenaan. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan