Selasa, 4 Jun 2013

Usaha membendung dunia tanpa sempadan


detik daily

Pengaruh media baru dan kesannya kepada kempen pilihan raya nampaknya begitu mendominasikan perbincangan politik pasca pilihan raya umum PRU13.

Paling akhir Ahli Parlimen Pulai, Dato’ Nur Jazlan Mohamed mengakui ‘kelemahan ketara’ jentera BN pada kempen PRU 13 dalam ‘perang siber’ sehingga mengakibatkan parti itu kehilangan pengaruh di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Ketika memberikan pandangannya dalam satu forum pasca-PRU13 di Kuala Lumpur baru-baru ini, Nur Jazlan mengakui bahawa Pakatan Rakyat lebih menguasai media sosial berbanding BN sehingga berjaya menyampaikan mesej kempen kepada pengundi.

Forum anjuran Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) itu juga diberitahu, BN pada beberapa siri PRU lalu kalah di kawasan bandar namun kini turut kalah di kawasan pinggir bandar.

Beliau seterusnya menyarankan BN mengkaji semula strategi pilihan raya, dan mengingatkan bahawa kegagalan menukar strategi akan menjadikan Malaysia ‘negara berjurang’.

Menurut beliau jurang antara bandar dan luar bandar akan terus membesar dan BN perlu merapatkan jurang tersebut.

Amaran Nur Jazlan itu sebenarnya telah dihidu para pemimpin BN. Oleh kerana itulah kerajaan pimpinan Najib beriya-iya mahu mengkaji undang-undang terhadap ‘penyalahgunaan’ media sosial yang boleh menggugat keharmonian negara.

Bagaimanapun alasan untuk mengkaji undang-undang bagi mengawal media sosial itu dipertikaikan beberapa pihak memandangkan kerajaan telahpun bertindak menggunakan undang-undang sedia ada bagi mendakwa individu yang dituduh menggunakan internet untuk menggugat keharmonian negara.

Persoalannya benarkah keharmonian negara tergugat atau kedudukan BN yang terancam apabila media baru kini menjadi kuasa pengimbang kepada media konvensional yang tidak berlaku adil kepada parti- parti lawan BN?

Kempen PRU13 tempoh hari menyaksikan bagaimana media konvensional - akhbar, radio dan televisyen - dimanipulasi semahu mungkin oleh BN untuk kempen pilihan raya. Saban hari serangan demi serangan dihadapkan kepada parti-parti lawan BN melalui media konvensional.

Di masa yang sama rakyat dihujani iklan-iklan politik di media massa (cetak dan elektronik) sehingga sesetengah kempen politik BN yang mengagungkan Perdana Menteri dikritik hebat mantan menteri penerangan.

Pastinya kekerapan kempen pilihan raya BN di media konvensional itu mempengaruhi persepsi negatif pengundi luar bandar terhadap Pakatan Rakyat apatah lagi sebahagian besar masyarakat luar bandar tidak mempunyai akses kepada internet dan media baru.

BN pastinya menyedari keberkesanan kempen politik melalui media konvensional yang berjaya mengekalkan pengaruhnya di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun ia gagal mengawal kemaraan media baru yang lebih berpengaruh di kalangan masyarakat bandar dan pinggir bandar.

‘Sindrom keusangan’ yang dialami media konvensional dan hilang kepercayaan generasi baru terhadap kredibiliti dan reputasinya menjadikan BN kehilangan punca.

Oleh kerana itulah idea membendung kebebasan maklumat ini cuba dilaksanakan regim pemerintah.

Sejauh mana berkesannya “tindakan mundur kebelakang” regim BN ini bergantung kepada masa dan suasana. Namun setakat ini, tiada kuasa yang dapat membendung dunia tanpa sempadan.

Tiada ulasan: