Jumaat, 7 Jun 2013

‘Undang-undang derhaka’ bawa negara pemerintahan totalitarian

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, cadangan ‘undang-undang kesalahan menderhaka’ berpotensi disalahguna sehingga menyebabkan negara menuju pemerintahan totalitarian.

“Undang-undang yang tidak selaras dengan demokrasi memang mempunyai potensi untuk disalahgunakan.
“Apa pun, negara yang stabil dan yakin dengan rakyatnya tidak akan mengekang dengan undang-undang yang drakonian seperti itu.

abdul-aziz-bari
“Jika undang-undang yang mengharamkan bantahan diluluskan, ertinya negara itu menuju ke arah negara totalitarian atau negara satu parti; macam negara komunis,” katanya dalam emel kepada Keadilandaily.

Aziz diminta mengulas pandangan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan penggubalan undang-undang khas, seperti kesalahan menderhaka kepada Raja.

Namun, beliau menegaskan seperti pandangannya sebelum ini, bahawa Perlembagaan adalah institusi tertinggi di Malaysia dan semua orang termasuk Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepadanya.

Katanya, semua orang mempunyai hak kerana ia dijamin oleh Perlembagaan dan sebarang bantahan dilakukan mengikut saluran undang-undang.

“Membantah adalah hak yang sah di sisi undang-undang yang demokratik. Saya kata semua orang, termasuk Agong, tertakluk kepada Perlembagaan.

“Jadi tak ada siapa yang boleh nafikan hak yang termaktub di situ. Saya mengeluarkan pandangan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: