Jumaat, 7 Jun 2013

TPP: Kedaulatan Malaysia dikorban untuk perdagangan bebas? – Nurul Izzah

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar bimbang kedaulatan Malaysia dikorbankan dengan menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ( TPP) tanpa mempedulikan pandangan rakyat.

“Kami bimbang kerajaan menandatangani perjanjian TPP tanpa mempedulikan pendapat orang ramai atau memberi perhatian kepada kebimbangan dan sentimen rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, TPP memberikan hak undang-undang lebih kepada perniagaan asing berbanding domestik melalui fasal dipanggil resolusi penyelesaian pertikaian ‘pelabur-negeri’ (ISDS).

TTP

(TPP) adalah inisiatif Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang melibatkan 11 buah negara yang kini memasuki pusingan rundingan ke-17 dan Malaysia menyertai perbincangan TPP mulai Oktober 2010.

TPP mengandungi peruntukan berhubung pelanggaran berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS) yang terdiri daripada asas farmaseutikal sehingga maklumat dalam talian digital.

Antaranya, penyedia perkhidmatan internet (ISP) dikehendaki memantau aktiviti harian pengguna internet dan diberi kuasa untuk bertindak dengan cara melumpuhkan akses atau pendikit jalur lebar yang menghalang kebebasan bersuara.

Malangnya kata Nurul, rakyat Malaysia termasuk wakil rakyat tidak dimaklumkan mengenai perbincanganyang berkaitan dengan TPP.

“Ini pengecualian yang malang apabila perbincangan, perbahasan atau apa-apa bentuk penyertaan, apatah lagi keseluruhan sesuatu proses tanpa mendapatkan pengesahan Parlimen seolah menafikan hak orang awam untuk mengawasi, meneliti perjanjian antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala yang boleh menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya.

Justeru, beliau menuntut kerajaan Malaysia memastikan jaminan dan keselamatan tertentu:

1) Memperkukuhkan undang-undang alam sekitar dengan piawaian antarabangsa untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan ekosistem.

2) Mencontohi amalan terbaik antarabangsa untuk menentang sekeras-kerasnya ISDS dan menggabungkan amalan-amalan terbaik dalam Penyata Dasar Perdagangan.

3) Menggubal undang-undang untuk melindungi kepentingan pengguna internet tempatan dan mengekalkan kebebasan maklumat selagi ia tidak melanggar undang-undang keselamatan sedia ada.

Justeru, Nurul Izzah berkata beliau akan terus memberi keutamaan kepada penglibatan wakil-wakil daripada semua kaum sama ada Melayu, Cina, India serta Dewan Perniagaan mengenai perkara ini.

“Kami menerima dengan baik jemputan kedutaan Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa mereka telah menawarkan pelbagai kumpulan perniagaan dan masyarakat sivil di Malaysia peluang untuk menjadi sebuah organisasi dalam rundingan.

Tambah Nurul Izzah, pihaknya tidak menerima jaminan membuta tuli bahawa kerajaan Malaysia akan melaksanakan tugasnya apabila mereka telah gagal teruk untuk melindungi kepentingan negara dan kedaulatan pada masa lalu,

Antaranya seperti kes-kes pertikaian wilayah Pulau Batu Putih (dengan Singapura) dan Blok L dan M (dengan Brunei), perjanjian air (dengan Singapura) dan perjanjian tanah KTM Tanjong Pagar (dengan Singapura).

“TPP ini mungkin satu semangat ‘Perdagangan Bebas’. Tetapi apakah ia benar-benar ‘perdagangan saksama’ untuk rakyat negara kita?, soalnya.

Kenyataan penuh, sila klik pautan ini

Tiada ulasan: