Khamis, 20 Jun 2013

Tinggalkan BN demi kedaulatan Sabah

FREE MALAYSIA TODAY

Tanpa sokongan dari Sabah, BN akan tumbang dan kehilangan kuasa pemerintahan di Putrajaya, kata Jeffrey Kitingan. 

 

DUN Sabah

Oleh Percy Goliu

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan merayu, memujuk dan membodek wakil-wakil rakyat daripada komponen Barisan Nasional (BN) Sabah supaya bersatu meninggalkan parti itu beramai-ramai.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Reformasi Sabah (STAR) berkata wakil rakyat BN negeri harus bergabung untuk membentuk satu kuasa besar untuk menundukkan kuasa Kuala Lumpur demi kedaulatan Sabah sebagai sebuah negeri yang merdeka dan kuat.

“Siapa bilang kita tidak boleh melakukannya. Sebab sekarang ini, tanpa disedari, kuasa adalah ditangan kita di Sabah. Tanpa sokongan dari Sabah, BN akan tumbang dan kehilangan kuasa pemerintahan di Putrajaya,” katanya.

Jeffrey berkata demikian dalam ucapan sulung ketika membahaskan ucapan Dasar Kerajaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dua hari yang lalu di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di sini.

Persidangan DUN itu adalah yang pertama selepas BN menguasai semula Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, lebih 40 hari yang lalu.

Kemunculan Jeffrey di DUN kali ini menyemarakkan lagi suasana dan boleh menyebabkan sesetengah wakil rakyat BN merasa kecut perut dengan hentaman dan bantahan yang bakal diluahkannya. Kali ini jumlah pembangkang lebih ramai iaitu 12 orang berbanding hanya tiga pada penggal yang lalu.

Masih bertaring, Jeffrey mengingatkan wakil rakyat dengan nada serius tetapi diselitkan dengan lawak jenaka bahawa sekarang Sabah adalah kuasa penentu siapa yang akan menerajui Putrajaya.

Peras ugut

“Sabah dan Sarawak kini tidak lagi bergantung kepada Umno atau Kuala Lumpur untuk memegang kuasa memerintah seperti dulu.

“Fahamilah bahawa Kuala Lumpur dan Umno tidak lagi dapat memeras ugut kita seperti dulu. Sebenarnya, keadaan sekarang sudah terbalik. Umno dan Kuala Lumpur memerlukan kamu dan kita,” katanya.

Wakil Rakyat dari Bingkor di kawasan pedalaman Sabah itu kemudian menggambarkan Sabah umpama seorang gadis jelita yang dipinang oleh dua lelaki bangsawan – Najib (Tun Razak) dan Anwar (Ibrahim).

Najib katanya, memerlukan Sabah untuk meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan hanya boleh berjaya jika BN Sabah menyokongnya.

Anwar pula mengidam tempat Najib sebagai PM tetapi beliau juga akan hanya boleh berjaya jika mendapat sokongan di Sabah. Ini dengan jelas menunjukkan betapa kuatnya YB-YB BN Sabah sekarang selepas PRU-13.

Maka itu katanya, wakil rakyat Sabah perlu mengakui kuasa dan kekuatan itu dan perlu mengambil peluang dan kesempatan ini demi manfaat Sabah di masa depan.

“Situasi unik ini mungkin tidak akan timbul lagi jika peluang ini tidak direbut. Malah inilah juga masa untuk menunjukkan dan membuktikan komitmen sebenar kamu untuk memperjuangkan pemulihan hak-hak, hak kemerdekaan dan autonomi di bawah 20-Perkara yang kini sudah hilang dan pada masa yang sama menuntut balik hasil-hasil lain dan hasil minyak kita,” katanya.

Jajahan Malaya 


Dalam ucapannya itu juga, Jeffrey mencabar wakil-wakil rakyat BN untuk membuktikan yang mereka berkhidmat demi memulihkan keadilan dan kepentingan Sabah dan bukan kerana ‘bos-bos kamu’ di Kuala Lumpur.

“Buktikan yang kamu sebagai YB-YB kerajaan menghormati dan memperjuangkan hak-hak dan keistimewaan Sabah di bawah 20-Perkara dan Perjanjian Malaysia 1963. Buktikan yang Sabah bukannya negeri yang tunduk kepada Kuala Lumpur dan bukannya sebuah negeri jajahan Malaya,” katanya.

Mengulas Ucapan Dasar Kerajaan itu Jeffrey berkata, beliau tidak melihat apa-apa yang baru dan menganggapnya sebagai “biasa” selain daripada isu keselamatan dan kenyataan bahawa kadar kemiskinan sudah turun kononnya daripada 19.7% pada 2009 kepada 8.1% pada 2012.

“Yang pasti ini masih menjadi pengakuan jelas bahawa Sabah negeri termiskin di Malaysia.

Beliau berharap Dasar Kerajaan akan menyentuh sedikit sebanyak mengenai Manifesto BN dan sejauh mana kerajaan melaksanakan serta menepati janji-janji manifesto pilihan rayanya pada penggal ini tetapi berasa kecewa kerana ianya tidak disentuh sama sekali.

Sebagai pemerhati politik katanya, jika kerajaan meneruskan sikap dan pendekatan yang sama seperti dulu tanpa perubahan dan wawasan baru atau tindakan yang berani, Sabah akan terus mengalami prestasi sejarah selama 50 tahun lalu iaitu “iri om iri” dalam Bahasa Dusun yang bermakna “tiada perubahan”.

Untuk maju dengan lebih mantap dan secara “leaps and bounds”, kerajaan dan pemimpin katanya, perlu membuat beberapa perubahan.

“Sebenarnya punca utama masalah kita di Sabah adalah masalah kehilangan kuasa kemerdekaan Sabah mengakibatkan kita terus bersandar dan bergantung kepada kekuasaan Malaya atas nama Kerajaan Pusat Malaysia.

“Mereka semakin kukuh dengan kemasukan dan penguasaan parti-parti mereka di Sabah.

“Selain itu, jabatan, agensi dan jentera-jentera Kerajaan Pusat juga  mengembangkan sayap di Sabah secara besar-besaran dengan kakitangan dari seberang mendominasi fungsi pentadbiran di Sabah hingga berlaku pertindihan kuasa kerajaan di Sabah,” katanya menambah ia menjadi persaingan yang tidak sihat.

Menurut Jeffrey, jika ini dibenarkan terus berlaku tanpa kawalan, suatu hari nanti kuasa Kerajaan Sabah akan lenyap di tangan Kerajaan Pusat. Akhirnya, kemerdekaan Sabah tiada erti lagi, tiada guna dan sia-sia sahaja.

Sebelum terlambat katanya, Kerajaan Sabah dan pemimpinnya harus sedar dan faham mengenai perkara ini dan bertindak sebelum terlambat demi menyelamatkan Sabah.

Tiada ulasan: