Ketiga-tiga mereka iaitu Jaffri bin Jaafar, 44; Mohd Nahar Abdul Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32; bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh "dalam mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Dhamanderan Narayanasamy".
Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi mengesahkan mereka memahami tuduhan tersebut, walaupun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Nur A'minatul Mardiah Md Nor menetapkan 9 Julai untuk sebutan dan serahan dokumen, termasuk laporan ahli kimia dan laporan bedah siasat.
Menurut kertas tuduhan, ia dipercayai berlaku pada 21 Mei 2013 di antara jam 12.20 sehingga 2.50 petang di Pejabat Siasatan Khas (D9) tingkat 7, Ibu Pejabat Kontingen Kuala Lumpur.
Semua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, ketuga-tiganya berdepan dengan hukuman mati.
Tertuduh pertama Jafri Jaafar diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad; tertuduh kedua Mohd Nahar diwakili Datuk Baljit Singh Sidhu dan tertuduh ketiga, Mohd Hazwadi diwakili Geethan Ram Vincent.
Peguam N Surendran dan Latheefa Koya, G Sivamalar, dan M Manogaran pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Dhamendran.
Pagi tadi, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Dhamendran akan didakwa.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei ke atas mayat Dhamendran mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat hentakan objek tumpul.
Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.
Beliau sepatutnya menjalani tahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan