Khamis, 27 Jun 2013

Rasuah RM6 juta: Penimbang tara, ahli perniagaan didakwa

THE MALAYSIAN INSIDER

Seorang penimbang tara bertauliah, Yusof Holmes Abdullah, 69, hari ini dikenakan tuduhan meminta rasuah RM6 juta sebagai dorongan bagi menyelesaikan satu pertikaian membabitkan dua syarikat termasuk satu syarikat asing tahun lalu.

Ia merupakan kes besar bersejarah membabitkan seorang penimbang tara bertauliah.

Turut didakwa seorang ahli perniagaan Datuk Siaw Teck Hwa, 59, yang bertindak sebagai ejen bagi Yusof Holmes.

Yusof Holmes dan Siaw didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini pagi ini.

Kedua-dua mereka yang mengaku tidak bersalah menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Yusof Holmes, salah seorang penimbang tara dari Pusat Penimbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 1 Ogos dan 30 September lalu dengan menghantar e-mel kepada Goh Nai Kooi @ Gah Mai Kwai iaitu Pengarah JMR Construction Sdn Bhd untuk mendapatkan RM6 juta bagi membuat satu keputusan yang memihak syarikat itu.

Syarikat itu terlibat dalam pertikaian dengan Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau.
Hakim Zulhazmi Abdullah menetapkan wang jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid manakala Yusof Holmes diwakili Raj Shanker manakala Siaw diwakili Messrs Zainal Badrol dan Zainal Fikri Ahmad.

Bagi kesalahan tersebut tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pertuduhan ke atas penimbang tara bertauliah itu membuktikan SPRM berjaya membongkar amalan rasuah sektor swasta melalui siasatan berpasukan.

"Ini merupakan salah satu pendekatan dalam usaha penambahbaikan dengan transformasi yang sedang dilaksanakan SPRM khususnya dalam siasatan melibatkan sektor swasta," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, petang ini.

Sehubungan itu, Mustafar meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai salah laku dalam soal penyelesaian pertikaian agar melaporkan kepada SPRM.

"Saya suka menyeru pada semua pihak sekiranya didatangai untuk cuba mendapatkan suapan supaya melaporkan kepada SPRM dan kita kena mengambil tindakan sewajarnya. Tentu kita memerlukan kerjasama semua.

"Siasatan kes ini yang telah dimulakan pada penghujung tahun lalu dengan bantuan pelbagai pihak khususnya kerjasama KLRCA dan Majlis Peguam menyebabkan kita mendapat input yang baik.
"Kita menggunakan (pendekatan) perakunan forensik dan forensik IT sehingga berjaya menyiasat kes ini,” kata beliau.

Menurut Mustafar, KLRCA dengan hampir 700 orang penimbang tara bertauliah tempatan dan antarabangsa yang berpengalaman tentunya menyambut baik tindakan "yang kita ambil bersama-sama KLRCA dalam siasatan kes ini."

Tiada ulasan: