Sabtu, 8 Jun 2013

Tak perlu berdalih, bos SPR letak sahaja jawatan

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seluruh kepimpinan badan itu didesak untuk meletakkan jawatan secara terhormat, bukannya sibuk menuding jari ke mana-mana pihak berhubung beberapa pertikaian yang dibangkitkan sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, PAS tidak teragak-agak untuk menggunakan pelbagai saluran yang sah, termasuk menghadap ke bawah Yang DiPertuan Agong bagi memohon campur tangan bagi memastikan satu suruhanjaya yang benar-benar berintegriti bagi menggantikan SPR yang ada.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, berkata sudah sampai masanya satu tindakan tegas terhadap SPR dilakukan memandangkan begitu banyak perkara berbangkit ketika dan selepas PRU13 lalu gagal diselesaikan secara profesional oleh SPR.

"Ini bukan masanya untuk SPR berdolak-dalik, tuding jari sini sana bagi menyalahkan segala kesilapan yang berlaku. Sebaliknya, SPR perlu bertanggungjawab bagi memastikan semua perkara membabitkan pilihan raya dilaksanakan sebaik mungkin," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, biarpun desakan untuk SPR meletakkan jawatan sudah seringkali diajukan, usaha untuk memastikan badan itu digantikan dengan badan lain yang lebih berintegriti perlu dilakukan.

Justeru, katanya PAS akan menggunakan semua saluran yang ada untuk memastikan SPR dapat dikembalikan kewibawaannya dengan peletakn jawatan secara terhormat oleh semua anggotanya.

Dalam waktu terdekat, tambah Salahudin, PAS akan mengerahkan ahlinya untuk sama-sama menyertai himpunan Black505 yang dijadual berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 Jun akan datang.

"Selepas perhimpunan tersebut, saya yakin Pakatan Rakyat akan membawa isu ini ke parlimen.  Kemudiannya ia akan disusuli ke saluran-saluran lain dalam usaha memastikan SPR lebih bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat kepentingan sesetengah pihak," tegas beliau lagi.

Pandangan tersebut turut disokong Koordinator Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang mendesak agar Pengerusi SPR dan badan itu sendiri digantikan dengan satu badan yang lebih bebs dan berintegriti.

"Kita lihat begitu banyak alasan diberikan, sejak pembubaran parlimen sehinggalah selesai PRU13. Alasan yang diberikan pula adalah mengarut.  Ia tidak sepatutnya berlaku.  Apabila kamu gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan, adalah lebih baik meletakkan jawatan. Bukan menyalahkan pihak lain atas kesalahan yang kamu lakukan," kata beliau.

Sebelum ini, pelbagai isu dibangkitkan berhubung perjalanan PRU13, khususnya berkait dengan penggunaan dakwat yang dikatakan kekal oleh SPR.

Penggunaan dakwat itu yang digunakan untuk pertama kali di negara ini, dikatakan boleh bertahan sehingga tujuh hari, bagaimanapun telah dibuktikan banyak pihak ia boleh hilang dalam tempoh beberap jam selepas membuang undi.

SPR sebelum ini memberi alasan, perkara tersebut berlaku kerana terdapat anggota SPR yang tidak menggoncang botol dakwat tersebut dengan betul hingga menyebabkan dakwat itu tidak dapat bertahan lama.

Bagaimanapun, terdapat laporan daripada pakar kimia yang mengatakan dakwat tersebut tidak perlu digoncang.

Hari ini, terdapat pula kenyataan bercanggah antara Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dengan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam.

Abdul Aziz mendakwa beliau telah berunding dengan Kementerian Kesihatan mengenai keselamatan dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13 pada 5 Mei lalu.

Ianya berkaitan peratusan bahan aktif dalam dakwat itu – argentum nitrat – yang didakwa perlu dicairkan kepada satu peratus untuk mengurangkan risiko barah.

Bagaimanapun, Dr S Subramaniam pula berkata tiada laporan seumpama telah dikeluarkan oleh kementeriannya dan pihak SPR tidak pernah meminta kementeriannya berbuat demikian.

Sebelum ini Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mendakwa kandungan argentum nitrat dalam dakwat kekal itu terpaksa dikurangkan.

Ahmad mendakwa pengurangan tersebut menyebabkan ia hanya mampu bertahan selama sepuluh jam sahaja kerana kandungannya yang tinggi akan meningkatkan risiko barah.

Tiada ulasan: