Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, tanpa kerjasama menyeluruh dan peruntukan undang-undang yang lebih berkesan, usaha membanteras rasuah tidak akan membuahkan hasil diharapkan oleh rakyat.
Kata beliau, pihaknya gembira kerana ada indikator menunjukkan sokongan rakyat yang semakin meningkat ekoran program-program transformasi termasuk penggubalan Akta SPRM 2009, tetapi negara memerlukan peruntukan lebih berkesan bagi memenuhi keperluan semasa.
"Jika tidak diberi kuasa yang lebih berkesan, usaha-usaha membanteras rasuah tidak akan membuahkan impak yang mendalam.
"Kita perlu bersama, tidak kira ideologi politik, rasuah adalah jenayah. Kalau undang-undang tidak cukup, kita perlu buat pindaan, kita perlu sokong," kata beliau dalam mesyuarat bersama pada majlis Dialog Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Editor di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.
Kata beliau, SPRM memerlukan kerjasama lebih menyeluruh daripada orang ramai selaras dengan program transformasi yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya ini.
SPRM ditubuhkan pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Kami memerlukan sokongan media, ada kekurangan... semua pihak perlu menyokong usaha-usaha yang mengesyorkan pindaan undang-undang dan peruntukan-peruntukan baru," katanya.
Dalam mengetengahkan perkara ini, Abu Kassim memetik syor-syor yang digariskan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dalam Laporan Tahunan 2011.
Laporan tersebut antara lain menekanklan perlunya penambahbaikan ke atas aspek perundangan dan pendakwaan.
Antara pindaan dicadangkan oleh JKMR, yang anggotanya terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dari parti kerajaan pusat dan pembangkang ialah membolehkan seseorang membuat pengisytiharan harta tanpa ada siasatan terhadap individu-individu terbabit.
Oleh itu, JKMR mencadangkan pindaaan dibuat terhadap Seksyen 36 Akta SPRM 2009 bagi membolehkan SPRM terus menyiasat pemilikan harta orang yang disyaki.
Dalam syor itu, JKMR berpandangan inisiatif tersebut jika dilaksanakan boleh memberi impak positif kepada kerajaan dan seterusnya menambah keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
Selain itu, JKMR juga mencadangkan kerajaan mencari mekanisme terbaik sama ada dari segi perundangan atau prosedur untuk menangani isu ‘legally right morally wrong'.
JKMR merupakan salah satu dari lima panel khas yang diwujudkan pada Januari 2009 sebagai mekanisme 'check and balance' ke atas perjalanan SPRM.
Empat panel yang lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Abu Kassim berkata, perkara-perkara disyorkan oleh JKMR dalam Laporan Tahunan 2012 akan dibawa kepada anggota baru jawatankuasa itu yang bakal dilantik.
Pertemuan hari ini merupakan siri dialog pertama tahun ini diadakan oleh SPRM bersama media.
Selepas ini, SPRM akan mengadakan pertemuan dengan media alternatif bagi mendekatkan hubungan dengan orang ramai, dengan menyalurkan maklumat perkembangan berlaku di SPRM khususnya perkembangan transformasi.
Di bawah program transformasi ini, SPRM sudah pun melakukan beberapa penambahbaikan iaitu dalam aspek operasi, modal insan dan kini mengembangkan fokusnya ke as aspek pencegahan.
Dialog hari ini dihadiri lebih 30 editor media pelbagai bahasa.
Mengulas lanjut mengenai program transformasi, Abu Kassim berkata, usaha itu dilaksanakan untuk mempertingkatkan lagi keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat dalam dan luar negara terhadap usaha pencegahan rasuah dengan berteraskan prinsip kebebasan, ketelusan dan profesionalisme.
"Tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan, dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh," kata beliau lagi.
Tahun 2012 adalah tahun pelaksanaan transformasi setelah tiga tahun pertama perjalanan SPRM sebagai sebuah agensi bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan