Khamis, 27 Jun 2013

SPR: PRK Kuala Besut selewat-lewatnya 27 Ogos

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini menyerahkan surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu.

Yang Dipertua DUN Mohd Zubir Embong menyerahkan surat itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat beliau di Wisma Darul Iman di sini pada 10 pagi ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam akibat kanser paru-paru.

Fakhrul Razi berkata beliau akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
"Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya pada 27 Ogos depan," katanya. Peraturan pilihan raya menetapkan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi kekosongan kerusi.

A. Rahman ialah  Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi. - Bernama

Tiada ulasan: