Rabu, 5 Jun 2013

SPR harap ketelusan tidak dipersoal lagi

NORUTUL ILHAM MAD JARI

 Abdul Aziz Yusof
Abdul Aziz Yusof 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap menerusi Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang akan memantau fungsi dan kawal sedia badan itu, persepsi negatif berhubung kebebasan dan ketulusan SPR tidak lagi dipersoalkan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, sekiranya persepsi ini dapat dihakis, keyakinan rakyat terhadap SPR dapat diperkukuhkan.

Namun, beliau tidak menjangkakan rakyat akan mengubah pandangan mereka sekelip mata terhadap SPR, hanya menerusi jawatankuasa tersebut.

"Susah sikit kerana dalam politik belum tentu mereka (rakyat) ubah pandangan mereka; boleh jadi ya atau tidak.

"Sebab itu kita ada kertas untuk perancangan bagi memecahkan tugasan kepada isu daftar pemilih dan persempadanan semula," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, SPR menyambut baik tindakan kerajaan memutuskan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia badan itu kepada jawatankuasa khas diwakili Ahli Parlimen kerana tindakan itu adalah permulaan baik bagi memperkasakan SPR.

"Kita sambut baik. Memang, kalau di negara luar pun mereka meletakkannya di bawah Parlimen.

"Sebenarnya perkara ini SPR sendiri telah pun ada kertas cadangan ke arah itu. Ini antara 33 syor hasil daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersidang selama enam bulan tahun lalu," katanya.

Katanya, walaupun diputuskan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen, namun beliau masih belum jelas bagaimana kaedah yang akan digunakan kerajaan.

"Mungkin kerajaan mahu wujudkan seperti PSC, atau cara lain. Itu pun akan kita ketahui kelak.

"Perkara ini bukan asing, tapi SPR tidak boleh dikongkong. Dulu, dengan adanya PSC, mereka boleh bagi syor hasil perbincangan, tapi tidak boleh mengarah SPR," katanya.

Tiada ulasan: