KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
akan mengkaji sama ada membenarkan pengusaha syarikat bas menaikkan
tambang sebanyak 30 peratus.
Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid
Syed Jaafar Albar berkata keputusan mengenainya akan dibuat sebelum Hari
Raya Aidilfitri. "Kita akan kaji. Banyak mana? Itu kita akan timbang,"
kata Syed Hamid kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Bas, Trak dan
Komponen Antarabangsa Malaysia 2013 di Seri Kembangan, dekat sini hari
ini.
Beliau diminta mengulas persetujuan Persatuan Pengusaha Bas
Seluruh Malaysia (PMBOA) supaya kerajaan menaikkan tambang bas bagi
mengelakkan syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa
menamatkan operasi.
Namun, Syed Hamid berkata pengusaha syarikat
bas perlu seiring dengan SPAD dalam mencapai objektif untuk memberi
perkhidmatan terbaik kepada orang awam.
"Mereka memberi
pandangan dan kita juga memberikan pandangan bagi mencari jalan terbaik
untuk orang ramai," katanya. Syed Hamid juga berkata kerajaan memahami
kehendak mereka yang ingin menaikkan tambang bas, namun mereka tidak
seharusnya membuat sesuatu tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Katanya
kerajaan selama ini membenarkan pengusaha syarikat bas mengenakan caj
tambahan sebanyak 10 peratus apabila tiba musim perayaan bagi membantu
syarikat berkenaan. "Masa nak balik, bas mereka penuh. Tapi lepas
perayaan, bas mereka kosong. Mereka perlu juga menanggung kos bawa
pulang bas kosong. Dan ketika ini kita benarkan mereka kenakan surcaj 10
peratus itu," katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan