Rabu, 26 Jun 2013

Siapakah tahanan mati kerana dicederakan polis?

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: “Saya juga berminat untuk mengetahui siapakah dua orang yang mati dalam tahanan polis itu,” ujar Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Ini, ujarnya adalah penting untuk menjelaskan pelbagai pertikaian yang timbul di kalangan rakyat.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu kematian dalam tahanan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Baginya, kenyataan menteri itu adalah sangat mengelirukan dan memesongkan dewan yang mulia.

Katanya, mengikut rekod yang diberikan oleh Zahid sebanyak 231 kematian dalam tahanan telah berlaku dari tahun 2000 hingga tahun 2013.

Daripada jumlah itu hanya 2 tahanan sahaja yang mati kerana keganasan polis.

Menurut beliau, yang lain mati kerana penyakit, bunuh diri dan tergelincir dalam dalam sel.

“Kenyataan beliau amat mengelirukan dan berniat semata-mata untuk membersihkan nama PDRM di kaca mata rakyat,” ujar Sivakumar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat tahu dan sentiasa mengikut perkembangan dalam banyak kes-kes kematian dalam tahanan yang dikesan berlumuran darah dan kecederaan fizikal.

“Tetapi, kenyataan Menteri Dalam Negeri pula cukup aneh dan tidak boleh dipercayai.

“Kenyataan beliau adalah tidak bertanggungjawab kerana ini akan menjadi satu kesinambungan jika perkara yang sebenar tidak didedahkan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: