HIMPUNAN Blackout 505 bakal diadakan di Padang Merbok pada 22 Jun ini selepas pindaan tarikh diumumkan oleh Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli pada 10 Jun lalu.
Himpunan ini diadakan selepas beberapa siri himpunan di beberapa buah negeri bertujuan menentang penipuan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Kali ini, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada 3 Jun lalu sepakat untuk bersama dalam Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok 22 Jun sebagai solidariti bersama menolak penipuan PRU13.
Pemimpin pakatan mendakwa PRU13 dipenuhi dengan kecurangan, bermula dengan penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal sehingga percanggahan dalam daftar pengundi dan penipuan secara terang-terangan pada hari mengundi itu sendiri melalui dakwaan penggunaan pengundi hantu dan bekalan elektrik terputus.
Sebaik pilihan raya 5 Mei berakhir,Rafizi membuat beberapa siri pendedahan apa yang beliau dakwa sebagai penipuan sebagai tekanan daripada pembangkang untuk kepada Putrajaya untuk melakukan reformasi pilihan raya, bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR seperti biasa masih terus menafikan segala dakwaan dan tuduhan yang dibangkitkan oleh pakatan mengenai kepincangan pengurusan pilihan raya di negara ini.
Akhirnya, rakyat tiada pilihan terpaksa berhimpun bagi menyatakan kemarahan mereka dengan penipuan dan segala bentuk penafian SPR.
Rakyat melihat seharusnya SPR selaku pengendali yang sudah hilang kredibilitinya dirombak semula, dan digantikan dengan mereka yang jauh lebih berintegriti.
Suara-suara desakan ini terhidang dalam setiap Himpunan Blackout 505 yang berlangsung sejak 8 Mei lalu hingga yang terakhir di Padang Timur Amcorp Mall, 24 Mei.
Himpunan ini mendapat tentangan kerajaan serta pihak berkuasa, ramai yang telah didakwa tidak kurang yang sedang dalam proses untuk didakwa.
Pelbagai dakwaan dilontar terhadap himpunan ini kononya bersifat perkauman apabila penyertaan di kalangan bukan Melayu cukup (kaum Cina) ramai.
Terkini, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan tuduhan bahawa himpunan blackout telah dan akan dipenuhi kaum Cina sahaja.Kenyataan ini untuk memesongkan terus usaha membantah penyelewengan dan penipuan dalam PRU13.
Mahathir lupa, sejarah bangsa Melayu pernah bangkit menentang penzaliman beliau ke atas bekas Timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga memaksa BN menukar strategi meraih undi kaum Cina.
Apakah BN 'rasis' ketika itu? Rakyat mampu menilai. Iltizam Pakatan Rakyat menentang penyelewengan PRU13, berasas apabila terbaharu Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr S. Subramaniam menafikan dakwaan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan mengenai dakwat kekal yang digunakan pada PRU13.
Kenyataan itu menguatkan lagi tuduhan dakwat kekal tidak kekal dan ribuan laporan polis dibuat sejak 5 Mei lalu berhubung penipuan dalam dakwat kekal ini.
Kepincangan dalam PRU bukanlah satu perkara baharu.
BN menggunakan pelbagai helah dan kaedah semata-mata untuk terus kekal berkuasa.
Lihat sahaja pilihan raya pada tahun 1999 selepas isu pemecatan Anwar, gelombang Melayu menumbangkan BN di Terengganu serta Kelantan.
Maka pada tahun 2003, BN merasaka undi Melayu ketika itu pada tahap kritikal, mereka melaksanakan persempadanan semula yang memecahkan semula undi Melayu ini.
Persempadana semula diadakan membabitkan usaha memindahkan lokaliti pengundi Cina ke kawasan majoriti Melayu bagi mengimbangi kebangkitan kaum Melayu ketika itu.
Lihat sahaja kawasan-kawasan seperti Kuala Kedah yang mana menerima kemasukan pengundi Cina yang ramai khasnya di Dun Kubang Rotan, akhirnya memberi kelebihan kepada BN untuk kembali berkuasa.
Tertekan dengan Terengganu jatuh ke tangan PAS, BN mencatur daftar pemilih bagi memindahkan pengundi ke Terengganu dalam PRU 2004 yang akhirnya memberi kemenangan kepada mereka walaupun peratusan undi PAS tidak berkurangan.
Percaturan BN dalam persempadanan semula dengan memindahkan lokaliti pengundi Cina memakan diri apabila pilihan raya umum tahun 2008 pengundi Cina yang berang dengan rasuah, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi melakarkan tsunami kecil yang menatijahkan Perak, Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah ke tangan pembangkang.
BN tidak pernah duduk diam apabila mereka di ambang kekalahan.Pelbagai taktik digunakan khasnya dalam memastikan kedudukan mereka selamat.Media adalah antara senjata ampuh BN untuk terus 'memperbodoh' rakyat.
Media juga berperanan dalam mendoktrin rakyat khasnya kaum Melayu agar takut untuk berubah.DAP, PAS dan KeADILan digambarkan sebagai satu pakatan yang didominasi kaum Cina walaupun kepimpinan dua parti utama (PAS dan KeADILan) adalah Melayu.
Hasilnya pada 5 Mei, BN kekal menerajui Kerajaan Persekutuan dengan undi Melayu di sesetengah kawasan tidak berganjak, malah dengan penipuan yang terancang BN terus megah berkuasa.
Menyedari hakikat ini, rakyat yang sudah bosan dengan penipuan akan merayakan hari hitam demokrasi Malaysia dengan 22 Jun ini.
Harapannya kaum Melayu tidak lagi duduk dalam sindrom ketakutan yang digambarkan oleh media arus perdana, sebaliknya mereka memikirkan soal harapan melihat sebuah negara yang benar-benar membentuk demokrasi sihat yang terhindar dari penipuan untuk sebuah kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan